Beberapa Kawasan Di Sarawak Mula Dinaiki Air - Semasa | mStar

Beberapa Kawasan Di Sarawak Mula Dinaiki Air

Paras air tinggi dan arus deras berhampiran loji rawatan air Batu Kitang di Kuching pada Ahad. -ZULAZHAR SHEBLEE/ THE STAR

KUCHING: Beberapa tempat di bahagian Kuching, Kota Samarahan, Mukah dan Limbang mula dinaiki air ekoran hujan tidak berhenti-henti sejak dua hari lepas.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak, Salihin Annuar yang dihubungi petang ini berkata sehingga pukul 6 petang ini, di Kuching, 26 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir.

Katanya sehingga kini 63 orang daripada 29 keluarga di sekitar Balingian dan rumah panjang Rh Jinjap dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kuala Balingian.

Di Kuching, antara kawasan yang dinaiki air kira-kira satu meter sejak awal pagi ini adalah sekitar Batu Lintang, Batu Kawa, Rantau Panjang, dan Sungai Tengah manakala di Kota Samarahan limpahan air sungai mengakibatkan beberapa kawasan berhampiran mulai dinaiki air.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Sarawak Lt Kol (PA) Mokhtar Samat berkata pihaknya sudah mula menempatkan anggotanya di lokasi berkenaan 24 jam sehari secara bergilir-gilir sejak semalam.

Menurutnya sehingga pukul 6 petang ini di Limbang, seramai 224 mangsa banjir telah dipindahkan.

Pegawai Kanan Pentadbir Daerah bagi Daerah Padawan, Rangen Jamang pula ketika dihubungi berkata 130 orang daripada 30 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah St Peter Simpok petang ini apabila paras air semakin meningkat di beberapa tempat di pekan Kampung Simpok.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata beliau sudah memberi taklimat kepada semua pemimpin wanita di Sarawak berhubung banjir yang mungkin melanda negeri itu akibat air pasang.

"Air pasang dijangka bermula 19 Jan (esok) namun ada kebimbangan fenomena itu akan berlaku lebih cepat dan mengakibatkan banjir, jadi saya telah memberitahu mereka supaya bersedia setiap masa jika banjir berlaku dan diarahkan berpindah," katanya.

Katanya Sarawak menyediakan 603 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri dan penduduk dinasihatkan segera berpindah ke pusat pemindahan yang berdaftar jika arahan berbuat demikian dikeluarkan.

Di PERAK, jurucakap MKN negeri berkata jumlah mangsa banjir mencatat penurunan kepada 158 orang daripada 50 keluarga berbanding 267 orang daripada 83 keluarga pada tengah hari tadi.

Katanya jumlah mangsa di Perak Tengah menurun kepada 39 orang manakala di Hilir Perak (85) dan di Hulu Perak (34).

Empat pusat pemindahan dibuka di tiga daerah berkenaan.

Di KELANTAN jurucakap MKN Kelantan berkata sehingga pukul 4 petang ini, seramai 472 mangsa melibatkan 103 keluarga masih ditempatkan di 12 pusat pemindahan di Kuala Krai.

Di Machang, 30 orang melibatkan lapan keluarga masih berada di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Temangan.

Banjir

Artikel Sebelum

Penjual Ikan Nyaris Terkena Tembakan

Artikel Berikut

Lagi Penunggang Motosikal Maut di Bentong

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain