suria

Fokus Infrastruktur Lestari Dalam Pembangunan Masa Depan - CIDB

PUTRAJAYA: Konsep infrastruktur lestari menjadi tumpuan hebat berikutan bencana banjir akhir tahun lepas yang dahsyat di negara ini, kata Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Seri Dr Ir Judin Abdul Karim.

Sambil menyifatkan infrastruktur sedemikian sebagai perkara asas bagi mempromosikan keadaan hidup yang lebih baik demi kesejahteraan masyarakat, beliau berkata usaha itu melangkaui bukan setakat untuk membina struktur fizikal seperti lebuh raya, jambatan atau terowong.

Beliau berkata, instruktur lestari itu bermula daripada proses membuat keputusan dengan mengutamakan projek infrastruktur yang akan dijalankan dan peruntukan sumber bagi projek sedemikian.

Ia melibatkan perancangan, mereka bentuk, pemerolehan, pembinaan, operasi dan mengekalkan unsur-unsur struktur dalam cara yang tidak mengurangkan proses sosial, ekonomi dan ekologi yang diperlukan untuk mengekalkan ekuiti manusia, kepelbagaian, dan fungsi sistem semula jadi, katanya.

"Saya yakin selepas bencana banjir, kita dapat mengenal pasti infrastruktur yang bukan sahaja dapat mengurangkan berulangnya banjir tetapi juga menangani keperluan lain bagi masyarakat, katanya pada satu seminar mengenai infrastruktur lestari di sini, Rabu.

Judin berkata, CIDB mencadangkan penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) bagi Infrastruktur Lestari ke arah melaksanakan infrastruktur lestari di Malaysia dalam usaha negara ke arah melaksanakan infrastruktur lestari.

CoE boleh dijadikan sebagai satu inisiatif di bawah Pelan Induk Industri Pembinaan Kedua yang kini sedang dirangka di peringkat akhir, katanya.

Judin berkata cadangan CoE itu akan menyediakan platform bertaraf dunia bagi diselaraskan dengan institusi penyelidikan terkemuka, menjalankan latihan dan perkongsian ilmu bagi meningkatkan kapasiti industri pembinaan negara dari segi infrastruktur lestari.

"Ia adalah perkara yang sangat tepat pada masanya dengan bencana baru-baru ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh meneruskan hidup seperti biasa tetapi perlu merancang satu infrastruktur yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk masa akan datang," katanya.

Mengenai kedudukan nilai ringgit yang semakin lemah, Judin berkata ia tidak memberi impak begitu banyak kepada industri pembinaan memandangkan kebanyakan bahan adalah daripada sumber tempatan.

"Namun ia bergantung juga kepada projek, katakan jika anda bina sebuah hospital yang memerlukan peralatan khusus dari luar negara, maka projek itu menelan kos yang lebih," katanya.

Beliau juga berkata, CIDB menjangka banyak kegiatan pembinaan akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Kelantan tahun ini.

Artikel Lain