suria

QZ8501: Cuaca Kembali Buruk Sukarkan Usaha Carian

Pasukan penyelam Indonesia membuat persiapan peralatan di dek kapal SAR Purworejo untuk menjalankan operasi mencari penumpang penerbangan AirAsia QZ8501 di pelabuhan Kumai, daerah Pangkalan Bun, Khamis. -foto REUTERS
PANGKALAN BUN: Hasrat pasukan mencari bangkai pesawat AirAsia yang tenggelam untuk menyambung semula operasi besar-besaran pada Khamis tertutup selepas cuaca yang semakin baik pada awal Khamis kembali buruk, menyebabkan kenaikan paras laut.

Selepas matahari terbit dan langit biru dapat dilihat,  timbul harapan baharu untuk penyelam menyiasat apa yang dipercayai sebagai bangkai pesawat Airbus A320-200, yang membawa 162 penumpang apabila ia terhempas pada Ahad ketika cuaca ribut yang kencang semasa dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

"Awan semakin berat ... dan keadaan cuaca akan bertambah buruk lagi," beritahu pegawai rasmi pasukan mencari dan menyelamat, Tatang Zaenudin kepada stesen TV, sambil menambah keadaan itu akan mengehadkan carian udara.

"Untuk carian di laut, kami akan teruskan."

Sekumpulan 47 penyelam Tentera Laut Indonesia telah bersiap sedia untuk menyiasat objek besar dan gelap yang dikesan oleh sistem sonar di dasar laut, yang terletak pada kedalaman hanya 30-50 meter (100-165 kaki).

Jika ia adalah pesawat AirAsia, penyelam akan mendapatkan kotak hitam pesawat.

Tiada satu pun isyarat 'ping' kotak hitam yang telah dikesan, kata seorang pegawai.

Penyiasat membuat andaian berdasarkan teori bahawa pegun aerodinamik dikurangkan apabila juruterbang meningkatkan ketinggian untuk mengelakkan ribut.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh mayat telah dijumpai dari perairan berhampiran lokasi kemalangan yang disyaki, bersama-sama dengan serpihan seperti beg pakaian, gelongsor kecemasan dan jaket keselamatan.

Mayat-mayat yang ditemui dari Laut Jawa dibawa menggunakan beberapa keranda ke Surabaya, di mana saudara-mara mangsa telah berkumpul, untuk pengenalan. Pihak berkuasa telah mengumpulkan DNA daripada saudara-mara untuk membantu mengenal pasti mayat.

Kebanyakan daripada 162 orang di atas kapal adalah dari Indonesia. Tiada mangsa yang selamat ditemui.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain