suria

Banjir: Maklumat Palsu Rencatkan Tugas Pasukan Penyelamat - SKMM

Tinjauan dari ruang udara Pahang menunjukkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) masih digenangi air akibat air sungai Pahang yang melimpah. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat palsu berkaitan banjir melalui media sosial perlu dihentikan kerana perbuatan itu boleh mengganggu tugas pasukan penyelamat, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi. 

Menurutnya, penyebaran maklumat sedemikian boleh menjurus kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan ditujukan kepada pihak yang sebenarnya tidak memerlukan bantuan. 

"Ia menyebabkan kepincangan dari segi aktiviti nak menyelamat kerana maklumat yang disampaikan tidak tepat.
 
"Cuba bayangkan selepas mandapat maklumat, pasukan keselamatan akan bergerak untuk menyelamat mangsa secepat mungkin tetapi jika maklumat itu palsu, akhirnya orang yang benar-benar memerlukan bantuan pasukan penyelamat tidak dibantu. Apa perasaan mereka," katanya.

Mohamed Sharil ditemu bual oleh Bernama Radio24 menerusi telefon dalam rancangan 'Dalam Radar' malam Selasa.

Beliau menarik perhatian bahawa biarpun pelbagai nasihat dan inisiatif telah dilaksanakan pihaknya dalam mendidik masyarakat, namun trend penyebaran maklumat palsu melalui media sosial masih berlaku. 

Mohamed Sharil berkata SKMM sedang meneliti kira-kira 18 kes berkaitan penyebaran berita tidak sahih mengenai insiden banjir dan ia menyaksikan lapan individu dipanggil untuk memberi keterangan setakat ini. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain