suria

Operasi Mencari Pesawat AirAsia Diteruskan Pagi Ini

Waris mangsa pesawat AirAsia QZ8501 yang masih hilang tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib ahli keluarga mereka yang berada di dalam pesawat tersebut.
JAKARTA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Qz8501 laluan Surabaya - Singapura yang hilang pagi Ahad, diteruskan di Laut Jawa kira-kira pukul 6 pagi Isnin.

Timbalan Ketua Pengarah Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Tatang Zainuddin berkata, pasukannya sedang menuju ke timur Pulau Belitung.

Menurut beliau, badan tersebut turut menggunakan empat pesawat bagi meneruskan operasi mengesan pesawat tersebut.

"Kami berharap agar pesawat tersebut ditemui segera. Kami turut menerima bantuan daripada beberapa negara lain seperti Malaysia dan Singapura," katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Indonesia, Hadi Mustofa berkata, misi mengesan pesawat tersebut dihentikan pada pukul 5.30 petang Ahad (6.30 petang waktu Malaysia) kerana keadaan semakin gelap.

"Cuaca juga tidak begitu baik kerana ia agak mendung," katanya.

Pesawat QZ8501 itu terputus hubungan dengan menara kawalan lalu lintas udara di Jakarta pada pukul 6.17 pagi waktu tempatan.

Seramai 162 penumpang yang terdiri daripada 138 orang dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi, dua orang juruterbang dan empat anak kapal berada di dalam pesawat Airbus A320-200 itu yang dijangka mendarat di Singapura pada pukul 8.30 pagi.

Juruterbang bertugas ialah Kapten Irianto dan pegawai penerbangan, Remi Emmanuel Plesel.

Warganegara penumpang pesawat ialah: 155 dari Indonesia, tiga dari Korea Selatan, temasuk seorang bayi, satu dari Malaysia, satu dari Singapura, satu dari Perancis dan satu dari United Kingdom. 




SARS, AirAsia, QZ8501

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain