suria

Mangsa Banjir Di Manek Urai Akhirnya Terima Makanan

PASIR PUTEH: Sebanyak 2,500 mangsa banjir yang ditempatkan di Klinik Manek Urai Baharu dan sekitar Kuala Krai yang terperangkap dan terputus bekalan makanan sejak Rabu lepas, menerima bekalan, mulai Sabtu.

Pegawai Perubatan dan Kesihatan klinik berkenaan Dr Yap Yang Seng berkata bekalan makanan seperti beras, gula dan biskut itu dihantar kepada mangsa terlibat menggunakan helikopter oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pada hari ini, satu lagi bungkusan bekalan makanan dihantar menggunakan helikopter ATM," katanya.

Kerajaan menggunakan helikopter dan bot untuk menghantar bekalan makanan di lokasi mangsa banjir terperangkap kerana laluan darat terputus dan ditenggelami banjir.

Bagaimanapun, keadaan cuaca buruk dan arus deras sebelum ini menyukarkan helikopter untuk terbang di kawasan berkenaan.

Pada Rabu dan Khamis lepas, mangsa yang sebilangan besarnya adalah pekebun kecil getah, terputus bekalan makanan apabila banjir terburuk melanda kawasan itu sehingga menenggelamkan tingkat tiga Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama, Kuala Krai.

Dr Yap berkata sepanjang tempoh itu mereka berkongsi bekalan makanan ringan yang dibawa oleh penduduk kampung ketika berpindah.

Beliau berkata enam orang pesakit kritikal termasuk seorang yang dipatuk ular berbisa, sudah dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut oleh ATM menggunakan helikopter, pagi tadi.

"Walaupun keadaan air semakin surut (hari ini) ia masih lagi tidak boleh dilalui kenderaan dan terputus bekalan elektrik...masih lagi nampak seperti lautan," katanya.


Manek Urai, Banjir, Kelantan

Artikel Berikut

Artikel Lain