suria

Dakwaan Darurat Di Kelantan Tidak Benar - Polis

KOTA BAHARU: Dakwaan kononnya negeri Kelantan telah diisytiharkan darurat berikutan keadaan banjir buruk melanda negeri itu adalah tidak benar sama sekali, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

"Kita belum isytihar apa-apa setakat ini, bagaimanapun masyarakat perlu berjaga-jaga.

"Pihak polis sedang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir dan usaha menyelamat mangsa sedang giat dijalankan oleh semua agensi kerajaan berkaitan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, rabu.

Beliau menegaskan keadaan banjir di Kelantan masih lagi terkawal.

Katanya setakat ini, jalan untuk ke negeri Kelantan hanya boleh dilalui menggunakan udara manakala laluan darat melalui Terengganu.

Mazlan berkata masyarakat perlu berhenti menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir di negeri itu kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Orang ramai mengambil peluang membuat maklumat palsu dan kita menasihatkan supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan sedia ada," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menggunakan helikopter untuk menyelamatkan mangsa banjir yang masih terperangkap di Kuala Krai.

"Helikopter sedang digunakan untuk memantau mangsa banjir yang terperangkap dan ia juga menunjukkan arah kedudukan mangsa kepada bot penyelamat.

"Jadi orang ramai perlu memberi isyarat seperti mengibarkan kain atau apa-apa sahaja kepada pihak berkuasa bagi memudahkan proses menyelamat," katanya sambil menambah bot-bot juga ditempatkan di kawasan tertentu.


Banjir, Kelantan, Darurat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain