suria

Malaysia Sumbang RM3 Juta Kepada Negara Terlibat Wabak Ebola

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk meneruskan komitmen membantu negara yang terjejas dengan wabak Virus Ebola (EVD) dengan menyumbang sebanyak RM3 juta, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata sumbangan itu akan disalurkan menerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) yang menguruskan sumbangan itu ke Guinea, Sierra Leone dan Liberia.

"MERCY Malaysia akan tentukan sama ada sumbangan itu akan disalurkan menerusi ubat-ubatan atau keperluan perubatan berkaitan pengurusan kes jangkitan Ebola termasuk sarung tangan, ubat-ubatan, kemudahan katil dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Terdahulu, beliau menyampaikan replika cek bernilai RM3 juta itu kepada Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia, Ahmad Faezal Mohamed.

Sebelum ini, kerajaan membekalkan 20.9 juta pasang sarung tangan perubatan kepada Liberia, Sierra Leone, Guinea, Congo dan Nigeria yang terjejas dengan wabak itu.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga 7 Dis lepas, sebanyak 17,908 kes wabak itu dengan 6,373 kematian direkodkan.

Mengenai persidangan Asean + Tiga yang disertai Menteri Kesihatan negara-negara Asean di Bangkok baru-baru ini, Dr Subramaniam berkata mereka sepakat untuk bekerjasama dengan berkongsi keupayaan dan kepakaran masing-masing dalam menghadapi wabak Ebola.

"Negara di rantau Asean akan cuba bekerjasama mengumpul data dan maklumat yang kita ada bagi membantu negara-negara Afrika Barat yang dilanda wabak itu," katanya.


Ebola, Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain