suria

Mahkamah Rayuan Ketepi Sabitan Hukuman Terhadap Ibrahim Ali

Ibrahim Ali.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu mengetepikan hukuman penjara dan denda RM20,000 terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kerana menghina mahkamah.

"Walaupun saya telah menjalani hukuman penjara sehari, saya menerimanya dengan baik," kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kepada pemberita selepas keputusan mahkamah itu di sini.

Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 November 2013, berkata beliau pernah ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Syukur kepada Allah S.W.T kerana selama ini, saya tahu bahawa saya sebenarnya tidak bersalah," katanya.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membenarkan rayuan Ibrahim untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah kerana menghina mahkamah berhubung penerbitan sebuah artikel dalam laman web berkaitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T Singham.

Singham ketika itu mengetuai panel hakim kes saman fitnah yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Dua lagi hakim yang mempengerusikan panel itu ialah Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Varghese George Varughese. 

Penghakiman sebulat suara itu ditulis hakim Varghese dan dibacakan di mahkamah terbuka oleh Timbalan Pendaftar Zaini Fishir@Fisal.

Dalam penghakimannya, Hakim Varghese berkata mahkamah berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi jelas terkilaf dalam kedua-dua fakta dan undang-undang yang menyabitkan Ibrahim kerana menghina mahkamah.

Beliau berkata, pendapat Mahkamah Tinggi bahawa Ibrahim telah menghina mahkamah boleh dipertikaikan dan dengan itu hukuman berkenaan diketepikan.
Hakim Varghese turut memerintahkan denda RM20,000 yang telah dibayar oleh Ibrahim dipulangkan.

Beliau berkata rayuan Ibrahim adalah suatu kes yang layak dan sesuai serta wajar campur tangan oleh Mahkamah Rayuan.

Ibrahim dan Zainuddin Salleh, yang merupakan penulis artikel tersebut didapati bersalah pada 19 November tahun lepas kerana menghina mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara menjatuhkan hukuman penjara sehari ke atas Ibrahim dan beliau telah menjalani hukuman berkenaan.

Sementara Zainuddin yang dijatuhi hukuman penjara empat minggu telah menjalani hukuman itu dan tidak merayu.

Pada 5 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anwar untuk memulakan prosiding komital terhadap Ibrahim dan Zainuddin kerana menghina mahkamah berhubung penerbitan artikel dalam laman sesawang Perkasa pada 7 Januari tahun lepas, yang didakwa telah mencemarkan imej Singham.

Dalam permohonannya itu, Anwar mendakwa artikel itu mengandungi serangan peribadi terhadap hakim berkenaan yang terjumlah kepada penghinaan dan telah disiarkan sebelum beliau membuat keputusan.

Pada 21 Januari tahun lepas, Singham membuat keputusan memihak kepada Anwar dalam samannya terhadap Utusan Melayu berkaitan penyiaran dua artikel mengenai temubual Anwar dengan British Broadcasting Corporation (BBC) berkaitan undang-undang homoseksual.

Ibrahim kemudiannya memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana menghina perintah mahkamah dengan alasan beliau dan Perkasa tidak bertanggungjawab ke atas artikel berkenaan dan tidak mempunyai kawalan ke atas laman web tersebut.

Namun, permohonan itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2013.

Di luar mahkamah, Ibrahim, yang diwakili peguam Adnan Seman memberitahu pemberita bahawa prinsip beliau ialah sentiasa menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah.



Ibrahim Ali, Perkasa

Artikel Sebelum

Artikel Lain