suria

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

SEPANG: Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan kegiatan menyeludup dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 22kg bernilai RM4.1 juta yang disorokkan di dalam 16 unit ekzos kenderaan menggunakan khidmat kurier.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata kesemua eksoz tersebut diletakkan di dalam dua kiriman bungkusan tiba di kargo udara KLIA pada 17 Nov lepas dari Guangdong, China sebelum diedarkan ke syarikat penghantaran cepat di Petaling Jaya.

Beliau berkata satu daripada bungkusan itu dituntut seorang wanita, yang merupakan seorang suri rumah, berumur 34 tahun berasal dari Negeri Sembilan pada 8.30 pagi, Khamis lepas.

"Wanita tersebut ditahan dan hasil pemeriksaan menemui tujuh unit ekzos yang di dalamnya terdapat methamphetamine seberat 9.6kg, bernilai RM1.8 juta," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, Rabu.

Suri rumah itu ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Chik Omar berkata susulan penahanan wanita itu, pihaknya menunggu individu lain menuntut satu lagi bungkusan namun selepas dua hari tiada yang tampil.

"Justeru kita memeriksa bungkusan tersebut dan menemui methamphetamine seberat 12.4kg bernilai RM2.3 juta dalam sembilan unit ekzos. Kita percaya individu itu mengetahui tangkapan sebelum ini," katanya, sambil menambah alamat yang tertera pada bungkusan itu didapati palsu.

Sementara itu, Chik Omar berkata methamphetamine seberat 2.1kg bernilai RM402,040 pula ditemui disorokkan dalam satu unit kompresor peti sejuk serta dua unit penapis minyak yang diletakkan di dalam sebuah bungkusan yang dirampas pada dua hari lepas.

Beliau berkata bungkusan itu tiba di Pos KLIA di sini dari Nigeria pada 17 Nov lepas dan sepatutnya dihantar kepada seorang penerima di kawasan Golden Villa, Klang oleh ejen penghantaran namun tiada yang tampil menuntut bungkusan tersebut.

Nombor telefon yang tertera pada bungkusan itu juga gagal dihubungi dan alamat didapati palsu sebelum ia diserahkan kepada Kastam KLIA dan diperiksa, katanya.


Kastam, KLIA, Syabu

Artikel Lain