suria

Polis Berkas Dua Pengedar Dadah Di Besut

BESUT: Dua lelaki disyaki pengedar dadah diberkas dan 1,540 biji pil kuda dirampas dalam satu serbuan polis di sebuah rumah ditanah rancangan dekat Jabi awal pagi Khamis lepas.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 22 dan 29 tahun itu sedang tidur dalam sebuah bilik rumah berkenaan apabila polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah berjaya mengesan mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Kamsani Hassan berkata bertindak atas maklumat pasukan tersebut telah menyerbu rumah itu dan menahan suspek yang berada di bilik belakang rumah keluarga suspek berusia 22 tahun itu.

"Pemeriksaan di dalam bilik itu menemui 10 bijil pil dipercayai dadah jenis methamphetamine (pil kuda) di dalam poket salah seorang suspek manakala 10 biji lagi ditemui di atas lantai dalam bilik tidur tersebut," katanya.

Kamsani  menambah pemeriksaan lanjut polis menemui sebuah peti berkunci dalam rumah berkenaan namun suspek enggan bekerjasama membuka peti itu apabila diarahkan.

Menurutnya polis terpaksa bertindak memecahkan kunci peti berkenaan dan mendapati terdapat sebanyak 1,520 biji pil yang sama di dalamnya.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau tetapi telah enam bulan terlibat dalam pengedaran dadah di tanah rancangan itu dari soal siasat yang dilakukan,” katanya.

Kata beliau lagi saringan air kencing terhadap kedua-dua mereka mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 12(2) akta yang sama. 

pengedar pil kuda

Artikel Sebelum

BR1M: Beri Atau Tidak?

Artikel Berikut

Artikel Lain