suria

Petani Perlu Guna Teknologi Baharu, Kuasai Pasaran Dunia - Najib

Najib dan isterinya menaiki motosikal lama semasa melawat ruang pameran selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) di MAEPS pada Sabtu.

SERDANG: Petani di negara ini perlu melakukan perubahan dengan menggunakan teknologi baharu dan inovasi bagi meningkatkan pengeluaran serta mengorak langkah menguasai sebahagian daripada rantaian bekalan makanan global, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beliau percaya Malaysia mampu menjadi pemain utama sektor pertanian dunia jika perkara itu dapat direalisasikan seperti yang dilakukan di beberapa negara seperti Belanda.

"Negara Belanda yang saiznya lebih kurang saiz negeri Pahang, tetapi boleh menjadi negara pengeluar makanan, bunga dan produk pertanian kedua terbesar didunia. 

"Bukan kerana keluasan negara itu, tetapi kerana mereka mahir menggunakan teknologi, berinovatif dan dapat menguasai rantaian makanan global," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2014, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), disini Sabtu. 

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

MAHA 2014 bertemakan 'Agroteknologi-Pemangkin Transformasi' berlangsung dari 20 hingga 30 November, disertai 1,000 pengusaha industri agro makanan, hortikultur danagro-pelancongan dari dalam dan luar negara.

Najib berkata, tema yang dipilih sangat bertepatan dengan keadaan semasa memandangkan penggunaan teknologi dan inovasi merupakan kunci utama bagi menangani cabaran jaminan bekalan makanan global.

"Dunia sangat prihatin kepada soal jaminan bekalan makanan dengan pemimpin-pemimpin dunia menekankan pentingnya setiap negara memberi perhatian dan menggubal dasar-dasar yang akan memastikan setiap negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi," katanya.

Menurutnya, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu melaporkan menjelang 2050 jumlah penduduk dunia akan mencapai 9.6 bilion orang berbanding 7.2 bilion kini, dan jika pengeluaran makanan global tidak mampu ditingkatkan kepada 60 peratus daripada jumlah yang dihasilkan pada masa ini, dunia akan berhadapan isu kebuluran.

Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu generasi muda melihat bidang pertanian sebagai bidang yang kotor dan berpendapatan rendah kerana realitinya ia sektor yang berpotensi memberi pendapatan lumayan jika pengeluaran dapat dikembangkan ke pasaran global.

"Anak-anak muda masa kini lebih suka bekerja di pasar raya atau restoran makanan segera berbanding menceburi bidang pertanian sebab dapat bekerja dalam suasana berhawa dingin.

Persepsi ini harus diubah.

 "Saya berharap lebih ramai yang akan berjaya dalam bidang pertanian dan membuka peluang baharu pula kepada orang lain," katanya.

Artikel Lain