PKR Ancam Demonstrasi Turun Harga Minyak - Semasa | mStar

PKR Ancam Demonstrasi Turun Harga Minyak

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengancam untuk menganjurkan demonstrasi jalanan pada 31 Disember ini berikutan keputusan kerajaan menghapuskan sepenuhnya subsidi petrol RON95 dan diesel.

Naib Presidennya, Mohd Rafizi Ramli berkata, demonstrasi tersebut bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan supaya mengembalikan sistem subsidi minyak sekaligus menurunkan harga bahan api itu.

"Saya menolak sepenuhnya penghapusan subsidi petrol dan diesel ini dan berazam akan terus bersama-sama aktivis dan rakyat menuntut harga minyak diturunkan bermula dengan demonstrasi turun harga minyak pada 31 Disember ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mulai 1 Disember penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet itu adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010, katanya.

Harga runcit petrol RON95 kini ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Mengulas lanjut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memberi kata dua kepada kerajaan supaya membatalkan hasrat melaksanaan sistem pengapungan harga terkawal.

"Benarkan syarikat-syarikat minyak menetapkan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing tertakluk kepada harga siling.

"Dengan cara ini, rakyat akan dapat memilih untuk membeli minyak pada harga paling rendah, bukannya yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kegagalan atau keengganan Datuk Seri Najib Tun Razak bermakna beliau mengundang kemarahan rakyat. Apa pun alasannya selepas ini, saya menyeru semua rakyat, NGO dan aktivis untuk turun beramai-ramai pada 31 Disember 2014 untuk menuntut turun harga minyak dan dikembalikan sistem subsidi," katanya.

RON95 , PKR , Mohd Rafizi Ramli

Artikel Sebelum

59,765 Warga Asing Diusir Ke Negara Asal

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Saya tak kenal wanita itu" - Issey