suria

Rekod Kelahiran Berlainan Kepada Kanak-Kanak Tanpa Negara - PM

KOTA KINABALU: Kerajaan hanya akan memberi rekod kelahiran dengan ciri berbeza daripada sijil kelahiran kepada kanak-kanak tanpa negara yang dilahirkan di negara ini khususnya di Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu yang dibincangkan dalam mesyuarat kabinet juga mempersetujui agar pengeluaran rekod kelahiran dengan warna berbeza daripada sijil kelahiran rakyat Malaysia.

"Kerajaan tidak mengeluarkan sijil kelahiran kepada kanak-kanak tanpa status warganegara kerana ia boleh ada tangapan mereka akan mendapat kewarganegaraan secara automatik," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini, Ahad.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata rakyat Sabah harus jelas bahawa sijil mahupun rekod kelahiran itu tidak akan melayakkan mereka mendapat status kewarganegaraan secara automatik bagi memenuhi permintaan anggota persidangan termasuk Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi BN negeri Datuk Seri Musa Aman; Pairin; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai berkata Putrajaya akan bekerjasama dengan JPN dan Kementerian Pendidikan untuk memberi sijil kelahiran bagi tujuan persekolahan kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah atas dasar perikemanusiaan.

Ahmad Zahid berkata permasalahan mengenai status kanak-kanak tanpa warganegara dapat ditangani dalam perbentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah.

Najib mengulas mengenai ucapan dasar Pairin yang melahirkan keraguan terhadap keputusan yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk mengeluarkan sijil kelahiran berstatus 'warganegara' atau 'penduduk tetap' kepada anak-anak tidak bernegara.

Berhubung laporan RCI yang akan diumumkan awal bulan depan, Najib berkata, RCI adalah simbol pemuafakatan BN dan sebagai perdana menteri telah memberi persetujuan untuk merealisasikan penubuhan suruhanjaya itu.

"Saya percaya Tan Sri Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai jawatankuasa itu akan meneliti syor dan menjalankan kajian serta cadangan untuk melaksanakan syor dalam laporan itu," katanya.

Berhubung isu tanah, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan pusat dan negeri jelas mengamalkan dasar untuk meluluskan geran tanah komunal kepada mereka yang berhak menerimaya termasuk kesediaan menambah peruntukan dalam soal itu.

Terdahulu, Pairin berkata rasional dan proses yang akan digunakan dalam soal pengeluaran sijil kelahiran kepada kanak-kanak itu tidak jelas dan tidak dibincang secara telus dengan kerajaan negeri selain menimbulkan perasaan tidak puas hati serta kekeliruan di kalangan rakyat.

Beliau yakin Perdana Menteri memandang serius perkara itu dan akan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kedaulatan negara ini, malah cadangan PBS  supaya tindakan mengeluarkan sijil kelahiran kepada anak-anak pendatang tanpa izin (PATI) digantung sehingga laporan RCI dikeluarkan dan cadangan penyelesaian masalah itu dilaksanakan.

Mengenai RCI, Pairin berharap kerajaan berani menerima syor-syor suruhanjaya itu dan melaksanakan syor yang dikemukakan dengan bersungguh-sungguh.

"Kita mahu pelaksanaan strategi yang berkesan termasuk penguatkuasaan dan penggunaan undang-undang Malaysia yang lebih tegas dan keras kerana kita perlu menghapuskan presepsi di kalangan PATI bahawa mereka berhak untuk menceroboh Sabah sesuka hati," katanya.

Sabah, KDN, Sijil Kelahiran, PM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain