suria

Baucar RM1,000 Untuk Pembeli Rumah Kos Rendah Di Johor

JOHOR BAHARU: Kerajaan Johor akan memberi baucar bernilai RM1,000 kepada pembeli rumah kos rendah di negeri ini bagi meringankan beban mereka untuk memilik rumah, bermula 1 Januari 2015.
  

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, baucar berkenaan boleh dituntut dari Bahagian Perumahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan akan diberikan semasa pembeli mengambil kunci rumah yang sedia diduduki.

"Kerajaan sedar dan peka terdapat kos yang terpaksa ditanggung pembeli rumah kategori kos rendah dan sederhana. Secara purata, setiap pembeli yang membeli rumah kos rendah terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM2,000 bagi pembayaran kos seperti fi perjanjian jual beli, duti setem, deposit air dan elektrik serta lain-lain.

"Oleh demikian, kerajaan negeri mengambil inisitaif untuk memberikan baucar RM1,000 kepada pembeli bagi membantu mereka meringankan beban," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2015 bertemakan "Membangunkan Johor Secara Inklusif" di Dewan Undangan Negeri Johor, Kota Iskandar, Nusajaya, dekat sini Khamis.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga bersedia menjual rumah-rumah miliknya melalui skim sewa beli dengan sasaran 5,000 unit mulai tahun depan bagi memenuhi keperluan sebahagian rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ini termasuk 1,000 unit rumah berharga antara RM42,000 dan RM80,000 yang akan disewa beli oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk diduduki sementara secara percuma oleh penerima bantuan zakat dan golongan asnaf fakir miskin.

Mohamed Khaled berkata antara perumahan terlibat ialah Rumah Pangsa Taman Cendana 1 dan 2 di Pasir Gudang, Rumah Pangsa Kangkar Pulai, Rumah Pangsa Seri Alam dan Rumah Pangsa Kos Rendah bagi penempatan semula setinggan yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).

Sementara itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Islam Johor mengenal pasti kawasan seluas enam hektar di Telok Jawa dan 5.6 hektar di Larkin, di sini, untuk pembangunan Taman Perbadanan Islam, tahun depan.

Kedua-dua taman yang dijangka siap dalam tempoh 36 bulan itu akan diwartakan sebagai rezab Melayu bagi mengimbangi dan mengurangkan jurang pemilikan hartanah Melayu di bandar raya ini.

"Rumah yang selesa akan memberikan kesihatan yang baik dan institusi keluarga yang kukuh. Rumah adalah keperluan asas dan kerajaan negeri sentiasa berazam memastikan setiap warganya mempunyai tempat perlindungan sesuai dan selesa," katanya.


Johor, rumah, baucar

Artikel Sebelum

Artikel Lain