suria

Jabatan Akauntan Negara Diminta Tingkat Penguatkuasaan, Sistem Kawalan Dalaman

KUALA LUMPUR: Jabatan Akauntan Negara diminta supaya meningkatkan aktiviti penguatkuasaan serta menambah baik dan memperketatkan sistem kawalan dalaman bagi mempertingkatkan lagi pengurusan Wang Tidak Dituntut (WTD).


Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2013 Siri 3, kriteria dan pemilihan kes untuk pemeriksaan WTD perlu memberi fokus kepada syarikat atau firma yang berisiko.

"Pada pendapat Audit, matlamat penguatkuasaan Akta WTD 1965 tidak tercapai kerana skop Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti (BPAS) belum meliputi pengesanan syarikat atau firma yang tidak menyerahkan WTD," demikian menurut laporan itu.Akauntan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pendaftar WTD di bawah Akta WTD 1965.

Peranan Pendaftar WTD itu dijalankan oleh BPAS, Jabatan Akauntan Negara dan sehubungan itu, BPAS bertanggungjawab memastikan penguatkuasaan Akta WTD 1965 dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik.

Laporan Ketua Audit berkata BPAS perlu menyediakan senarai semak sebagai Prosedur Operasi Standard yang perlu dipatuhi oleh semua pegawainya semasa pemeriksaan WTD.

Sejak penubuhan unit WTD, BPAS telah berjaya meningkatkan jumlah serahan Wang Tak Dituntut sebanyak RM3.844 juta dari tahun 2005 hingga 2012.

Sementara itu, Laporan itu turut menyebut data serahan WTD yang terdedah kepada unsur pindaan boleh mengundang risiko penyelewengan.

"Sehubungan itu, penambahbaikan proses memuat naik data serahan maklumat empunya WTD (UMA-3) ke dalam sistem Borang Daftar Wang Tak Dituntut (G-UMIS) perlu dilaksanakan," kata laporan itu.

Antara pelaksanaan yang dicadangkan ialah UMA-3 dalam bentuk Microsoft Excel perlu dibuat dalam format dilindungi daripada sebarang pindaan serta mempunyai elemen kawalan.

Antara kelemahan sistem kawalan dalaman ialah maklumat WTD dalam UMA-3 berbentuk salinan digital yang diterima daripada entiti boleh dibuat pindaan sebelum dimuat naik kedalam Sistem G-UMIS. 



Artikel Lain