suria

Tarif Elektrik Kekal Sehingga Jun 2015

Dr Maximus Ongkili.
KUALA LUMPUR: Tiada kenaikan kadar tarif elektrik sehingga Jun tahun depan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

"Kementerian ingin mengumumkan bahawa demi kepentingan rakyat, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik sedia ada sehingga Jun 2015," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.
 

Beliau berkata, peningkatan kos Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh dari Januari 2014 hingga 30 Jun, 2015, akan diserap menerusi penjimatan daripada rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP) Generasi Pertama. 

"(Kerajaan juga) mengekalkan harga gas berpaip yang dibekalkan oleh Petronas kepada sektor elektrik," kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Susulan keputusan kerajaan untuk menangguhkan kenaikan harga gas berpaip, Petronas akan menanggung pendapatan yang hilang sebanyak RM836 juta bagi tempoh Julai 2014 hingga Jun 2015. 

Kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2014 ialah sebanyak RM465.93 juta, manakala bagi tempoh Julai hingga Disember 2014 adalah sebanyak RM382.03 juta, kata kementerian itu.

"Jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM847.96 juta bagi tahun ini yang bersamaan dengan kenaikan kadar tarik elektrik sebanyak 1.62sen/kWh, yang akan ditampung menggunakan penjimatan hasil rundingan semula PPA dengan IPP Generasi Pertama.

"Bagaimanapun, selepas mengambil kira kos ICPT bagi mengekalkan kadar tarif, baki penjimatan hasil rundingan semula PPA, IPP Generasi Pertama adalah sebanyak RM170 juta. 

"Jumlah baki ini tidak mencukupi untuk menampung kos ICPT akan datang," kata kementerian itu. 

Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan mekanisme ICPT yang dilaksanakan pada Januari 2014. 

Mekanisme ICPT mengambil kira perubahan harga gas berpaip, gas asli cecair (LNG), arang batu, minyak bahan api sederhana, sulingan dan kos penjanaan lain seperti kos berkaitan PPA, kos penggantian daripada tenaga boleh baharu dan kos pembelian tenaga elektrik dari luar negara. 

ICPT membolehkan kerajaan untuk menyemak kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan kepada perubahan dalam harga bahan api dan penjanaan. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain