suria

Pertikaian Bayaran Punca Tamat Kerjasama Universiti Johns Hopkins, Universiti Perdana - Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Bangunan Parlimen di sini, Rabu. Turut sama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tiga, kiri)
KUALA LUMPUR: Pertikaian jumlah bayaran yang dikenakan oleh Universiti Johns Hopkins ke atas Universiti Perdana menyebabkan kerjasama di antara kedua-dua institusi pengajian tinggi ini ditamatkan.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan tiada penyelesaian dan persetujuan dapat dicapai oleh kedua-dua pihak berkaitan perkara ini, Universiti Johns Hopkins memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Sekolah Graduan Perubatan Universiti Perdana bermulai 31 Julai lepas.

"Perjanjian kolaborasi di antara Universiti Perdana dan Universiti Johns Hopkins merupakan urusan perniagaan dengan perniagaan," katanya dalam jawapan bertulis bagi soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Lim ingin tahu punca Universiti Johns Hopkins menamatkan kontrak dengan Sekolah Graduan Perubatan Universiti Perdana, status terkini, berapa pelajar terlibat dan adakah tindakan undang-undang terhadap atau diambil oleh Universiti Johns Hopkins.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, bilangan pelajar yang mengikuti pengajian di Universiti Perdana adalah 79 orang dengan jumlah pelajar yang ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam di Universiti Johns Hopkins adalah sebanyak 77 orang melibatkan pelajar kemasukan 2011, 2012, dan 2013.

Katanya, dua pelajar adalah pelajar antarabangsa di bawah tajaan persendirian.

Sehingga 2013, Muhyiddin berkata, sejumlah RM32.69 juta telah dibelanjakan bagi membiayai pelajar berkenaan, dan sehingga kini, tiada sebarang tindakan undang-undang terhadap atau diambil oleh Universiti Johns Hopkins, katanya.


Artikel Lain