suria

Macau Scam: Laporan Kerugian Mangsa Cecah RM83 Juta

PETALING JAYA: Mangsa penipuan telefon 'Macau Scam' mencatatkan kerugian berjumlah lebih daripada RM83 juta sejak tiga tahun lalu.

Biarpun pihak polis telah memberikan nasihat dan amaran, masih ramai lagi masyarakat di luar sana masih menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.

Mereka sering menggunakan taktik dengan menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara atau pegawai polis ketika mendekati mangsa yang berpotensi untuk ditipu.

Mereka menggunakan pelbagai tipu helah hingga menyebabkan mangsa terpedaya dan memindahkan wang mereka ke dalam akaun yang lain bagi mengelakkan daripada kegiatan mereka terbongkar.

Mangsa terbaru, Koh Choon Song, 62, yang berasal dari Sitiwan, mengalami kerugian sebanyak RM9,700 dalam tempoh 13 minit selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang pegawai  Bank Negara dan meminta mangsa menyelesaikan hutang kad kreditnya berjumlah RM4,770.

Koh memaklumkan kepada lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Lee, bahawa dia tidak mempunyai kad kredit, sebaliknya pemanggil berkenaan mendesak Koh agar memberikan maklumat peribadinya.

Koh mendakwa Lee meminta dia memindahkan semua wang simpannya ke dalam akaun seorang pegawai bank bernama 'Datuk Muhammad Aiman Poh' yang dikatakan boleh melindungi wang berkenaan.

Koh yang juga seorang penjual ikan telah melakukan seperti yang diarahkan oleh Lee namun sebaik sahaja dia cuba menelefon semula individu bernama Lee itu talian telefon tersebut tidak dapat dihubungi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC), Datuk Hamza Taib berkata, taktik yang sering digunakan oleh sindiket berkenaan ialah memberitahu mangsa bahawa akaun atau kad kredit mereka telah digunakan tanpa kebenaran atau telah dicuri oleh sindiket yang melakukan jenayah.

"Mangsa yang bimbang dengan keadaan tersebut sering tertipu dengan muslihat berkenaan dan akhirnya mereka akan memindahkan duit ke dalam akaun sindiket berkenaan," katanya kepada The Star.

Pada 2012, sebanyak 821 kes, melibatkan kerugian berjumlah RM22.4 juta dilaporkan. Tahun lalu, sebanyak 967 kes dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah RM25.8 juta.

Hingga bulan Ogos tahun ini, sebanyak 885 kes melibatkan kerugian berjumlah RM26.8 juta telah dilaporkan.

Hamza berkata, jenayah melibatkan Macau Scam ini sangat membimbangkan.

Jika dibuat perbandingan seramai 123 individu ditahan tahun lalu dan 355 individu ditahan pada 2012.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata JSJK telah memaklumkan kepada Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis ( PCIRC) supaya sentiasa memantau kandungan dan maklumat di Internet terutamanya di media sosial.

Selain itu, beliau berkata kempen kesedaran seperti ceramah mengenai beberapa penipuan online serta jenayah siber turut diadakan melalui media dan  pelajar, pertubuhan bukan kerajaan serta agensi kerajaan merupakan khalayak sasaran mereka.

Mengulas mengenai khdimat pesanan ringkas yang turut dilengkapi dengan nombor akaun daripada penipuan online, Hamza berkata mangsa sendiri mungkin telah memberikan nombor akaun berkenaan.

Mengenai penipuan yang dikenali sebagai Afrika Scam, beliau berkata ahli sindiket selalunya akan menjadi 'teman' kepada mangsa sebelum melakukan penipuan.

Hamza berkata, sebanyak 967 kes dilaporkan pada 2012 melibatkan kerugian berjumlah RM40.9 juta. Sebanyak 1,225 kes dilaporkan tahun lalu.

Macau Scam, Hamza Taib

Artikel Sebelum

Artikel Lain