suria

Kes Liwat II: Dr Osman Mungkin Punca DNA Tercemar - Shafee

Dr Osman Abdul Hamid
PUTRAJAYA: Kecuaian bekas doktor Pusrawi, Dr Mohd Osman Abdul Hamid yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan mungkin menjadi punca berlakunya pencemaran terhadap sample DNA perayu.


Ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika memberitahu mahkamah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan profil asing yang ditemui pada sample DNA Mohd Saiful adalah milik Dr Osman.

Malah beliau meragui keterangan Dr Osman berhubung proses pengendalian pemeriksaan terhadap Mohd Saiful.

"Kita tahu tentang DNA yang dikatakan (wujud) berdekatan dengan lubang dubur Mohd Saiful...bukan dalam (dubur) tapi yang diluar sedikit.

"Itu saya katakan boleh terjadi (pencemaran) ketika Dr Osman memeriksa Mohd Saiful. Kita tidak ada keterangan sama ada beliau (Dr Osman) pakai sarung tangan, atau sterilize glove atau baju yang telah disteril digunakan," katanya pada Selasa.

Bercakap kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Persekutuan, Muhammad Shafee berkata, pihak pendakwaan berpendapat kemungkinan jangkitan profil DNA Dr Osman pada sample Mohd Saiful adakah 'kuat'.

"Dr Osman ini saya tengok keterangan beliau agak teruk, jadi besar kemungkinan jangkitan DNA ini mungkin dari Dr Osman secara tak sengaja. Mungkin beliau pegang semasa nak periksa Mohd Saiful, dia tak sengaja pindahkan DNA.

"Mungkin (jangkitan DNA) daripada proktoskop yang beliau gunakan kerana maklumlah...contohnya beliau pegang proktoskop yang bersih tapi beliau kemudiannya cuba periksa alat itu dengan tangan yang tidak bersarung tangan. Jadi di situ boleh berlaku pindahan DNA. Itu semua mungkin terjadi dan kemungkinan itu sangat kukuh dan kuat," katanya.

Menurut Muhammad Shafee lagi, berdasarkan keterangan doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), jangkitan DNA tidak akan berlaku ketika proses pemeriksaan sekiranya semua langkah dipatuhi termasuk penggunaan sarung tangan dan alatan  yang disterilkan.

Prosiding pendengaran rayuan terakhir Anwar untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari yang juga bekas pembantu peribadinya kini memasuki hari keenam.

Sehingga Selasa, pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujah yang banyak menyentuh mengenai profil 'Lelaki Y' yang ditemui pada DNA Mohd Saiful.

Sample berkenaan cuba dipadankan dengan DNA Anwar yang diperoleh daripada tiga barangan peribadi yang digunakan  ketika ditahan di lokap iaitu berus gigi, tuala good morning dan botol air.

Prosiding akan bersambung pada Khamis dengan hujahan balas pihak pembelaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain