suria

SPAD Perlu Tetapkan Garis Panduan Laksana Tambang Fleksibel - PPPBSM

PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyediakan satu garis panduan mengenai penetapan kadar tambang bas sekolah yang fleksibel bermula awal tahun depan.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, sehingga hari ini, SPAD hanya menegaskan kadar tambang bas sekolah akan diputuskan menerusi rundingan bersama diantara ibu bapa dan juga pengusaha bas sekolah.

Namun, katanya, tiada garis panduan disediakan mengenai bagaimana keputusan penetapan harga itu boleh dicapai antara kedua-dua pihak tanpa wujud sebarang permasalahan.

Jelas Amali, pengusaha bas sekolah perlu membuat rundingan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kira-kira 10,001 buah sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Bayangkan kita perlu berunding untuk mendapatkan konsensus dengan PIBG di 10,001 buah sekolah... ini bukan kerja mudah. Malah, saya rasa ia agak mustahil dan sukar untuk dilaksanakan.

"Bagaimana kita hendak bertemu dengan semua PIBG dalam masa kurang dua bulan dari sekarang. Kita tak tahu macam mana nak mulakan, tiada garis panduan disediakan untuk melaksanakan perkara ini," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Menurut beliau, PIBG di salah sebuah sekolah yang ditemuinya baru-baru ini juga tidak tahu mengenai perkara itu kerana mereka tidak mendapat sebarang arahan daripada Kementerian Pendidikan.

Amali Munif Rahmat.

"Mereka beritahu saya, tidak tahu mengenai rundingan dengan pengusaha bas sekolah untuk menetapkan kadar tambang yang baharu. Mereka kata mereka dibawah Kementerian Pendidikan dan tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya. Jadi bagaimana harga tambang fleksibel dapat dicapai?," katanya.

Jelas beliau, kadar tambang asas bas sekolah di bandar yang diguna pakai sebelum ini diwartakan dibawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada 2009 iaitu RM27.43 bagi satu kilometer pertama dan RM2.02 setiap kilometer seterusnya.

"Kadar itu sudah tidak relevan untuk digunakan pada hari ini berikutan kenaikan harga minyak dan peningkatan kos operasi. Malah, harga itu juga tidak boleh diguna pakai lagi kerana SPAD mahukan harga rundingan antara pengusaha bas dan ibu bapa.

"Jadi kami keliru kerana jika kami menaikkan tambang, SPAD kata akan kenakan tindakan. Kadar harga lantai dan siling pun tidak ada bagaimana kami nak tentukan tambang yang berpatutan?," soalnya.

Justeru, beliau berkata, SPAD perlu mewartakan kadar tambang asas kerana ia akan menjadi garis panduan kepada pengusaha bas sekolah untuk menetapkan tambang pada harga berpatutan.

"SPAD perlu mewartakan tambang asas sendiri selepas mengambil alih fungsi daripada LPKP, bukannya membiarkan kadar tambang ditentukan mengikut 
pasaran semasa.

"Perkhidmatan bas sekolah adalah satu keperluan, jadi tambang perlu dikawal oleh kerajaan bukannya diapungkan mengikut harga pasaran. Mengapa kami sering kali dijadikan bahan uji kaji SPAD," katanya.

Malah, beliau berkata, cadangan yang dikemukakan PPPBSM supaya kadar tambang bas sekolah dinaikkan sehingga 40 peratus perlu dipertimbangkan sebagai harga asas bermula tahun depan.

"Sebagai contoh, kenaikan antara RM5 hingga RM10 dirasakan wajar pada hari ini selepas mengambil kira peningkatan kos operasi dan bahan api. Mungkin cadangan itu perlu dipertimbangkan kerana tiada harga asas pada ketika ini," katanya.

Sementara itu, jelas Amali, SPAD sepatutnya menjadi orang tengah yang akan memantau proses rundingan antara pengusaha bas dan ibu bapa agar keputusan yang dicapai dapat memuaskan hati kedua-dua pihak.

"Sehingga hari ini kami pun masih keliru mengenainya. Kami belum putuskan apa yang akan dilakukan sekiranya kata putus mengenai kadar tambang baharu gagal dicapai. Kita akan bincangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan pada 16 Disember ini," katanya.

Pada 3 Oktober lalu, SPAD mengumumkan akan menguatkuasakan kadar tambang bas sekolah yang lebih fleksibel bermula Januari 2015.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, pendekatan itu diambil selepas SPAD mendapat maklum balas daripada pihak pengusaha bas serta penilaian terhadap kenaikan kos operasi bas.

“Berikutan itu, SPAD berpendapat bahawa dengan penguatkuasaan kadar tambang bas sekolah yang lebih fleksibel akan membantu merangsang 
pengendali bas sekolah menawarkan perkhidmatan lebih baik," katanya.

Ujar beliau, penguatkuasaan kadar tambang fleksibel tersebut bergantung kepada hasil persetujuan pihak ibu bapa pelajar dan pengusaha bas.















SPAD, tambang bas sekolah

Artikel Lain