suria

Azmin Jamin Salur RM500 Juta Untuk Infrastruktur Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyalurkan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) dari Kerajaan Persekutuan sebanyak RM500 juta setahun kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing bermula tahun depan.

Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata, keseluruhan wang tersebut akan diserahkan kepada setiap PBT untuk menyelesaikan empat isu utama iaitu jalan berlubang, banjir, sampah dan wabak demam denggi di negeri itu.

"Keluarkan wang (peruntukan) itu dan serahkan kepada PBT untuk kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan masing-masing.

"Ini bukan wang saya. Saya boleh kedekut dengan duit saya sendiri tetapi wang rakyat harus dikembalikan kepada rakyat.

"Rakyat tak minta lebih daripada kerajaan, mereka meminta supaya hak mereka dipertahankan dan kesejahteraan mereka terbela dibawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat" katanya ketika berucap semasa majlis Pelancaran Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 dan Program Gotong-Royong Mega: Terjah dan Musnah Aedes Negeri Selangor 2014.

Tambah beliau, sebelum ini hanya sebahagian daripada peruntukan itu disalurkan kepada PBT manakala selebihnya dimasukkan ke dalam rizab negeri.

Kenyataan Azmin dilihat seolah-olah membidas tindakan bekas Menteri Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disifatkan sebagai 'kedekut' dalam membelanjakan peruntukan ketika mentadbir negeri itu.

Menurut Azmin, rizab besar yang dimiliki Selangor sehingga membolehkan negeri itu diangkat sebagai sebuah negeri terkaya dibawah pimpinan Pakatan Rakyat tidak bermakna sekiranya kemudahan infrastruktur tidak dijaga.

"Apa guna rizab begitu besar tetapi jalan masih berlubang dan sampah tak diangkat. Ada PBT cakap tak cukup duit, ini Selangor. Sebab itu antara langkah awal kita buat adalah mengumumkan  satu peruntukan yang cukup besar untuk penyelenggaraan," katanya.

Jelas beliau, sehingga hari ini sebanyak RM20 juta telah disalurkan kepada PBT untuk tujuan perkhidmatan kutipan sampah.

Beliau turut memberi tempoh masa sehingga 31 Disember ini kepada setiap PBT untuk menyelesaikan empat isu utama itu.

"Saya isytihar empat perkara utama itu harus diselesaikan sehingga 31 Disember ini," katanya.

Azmin Ali, Selangor

Artikel Lain