suria

JPN Kedah Pastikan Calon SPM Terlibat Bencana Tidak Tercicir

ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak tercicir sekiranya mereka terlibat dalam bencana alam seperti banjir dan puting beliung.

Pengarahnya Datin Azuyah Hassan berkata sekiranya terdapat calon yang terlibat dalam bencana alam, Jawatankuasa Payung yang terdiri daripada guru, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru bertanggungjawab untuk mencari serta membawa pelajar itu ke pusat peperiksaan.

Katanya pelajar yang terlibat dengan bencana alam akan ditempatkan di asrama sekolah mereka buat sementara waktu bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan itu seperti biasa walaupun tanpa berpakaian sekolah.

Beliau berkata sekiranya pusat peperiksaan dilanda bencana alam seperti banjir, calon peperiksaan akan ditumpangkan di pusat peperiksaan lain agar mereka tidak tercicir dalam peperiksaan penting itu.

"Sekiranya berlaku banjir besar di negeri ini JPN dan PPD akan mencari pelbagai alternatif bagi membolehkan calon mengambil peperiksaan tersebut seperti biasa," katanya pada sidang media di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini Isnin.

Azuyah berkata dua hari lepas sebuah pusat peperiksaan di Ma'ahad Al-Imam Al-Syafie di Pendang dilanda banjir dan pihaknya telah bersedia untuk menempatkan enam calon sekolah itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ibrahim yang terletak tidak jauh dari sekolah agama berkenaan.

"Ini langkah awal yang kita ambil dan saya bersyukur sebab air mula surut semalam dan hari ini pusat peperiksaan tersebut boleh digunakan seperti biasa dan tiada calon tumpang," katanya.

Katanya persiapan itu dilakukan disebabkan hujan yang sering berlaku pada waktu petang ketika ini, yang telah mengakibatkan berlakunya banjir di beberapa kawasan di negeri ini.

Seramai 36,526 pelajar menduduki peperiksaan SPM di 280 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
JPN Kedah, Datin Azuyah Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain