suria

Esok Tak Diisytihar Cuti Walaupun Johor Menang - MB

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
JOHOR BAHARU: Johor tidak akan mengisytiharkan Ahad sebagai hari cuti sekalipun pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya menumbangkan Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil malam Sabtu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu dibuat memandangkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula Isnin ini.

"Saya difahamkan guru-guru akan berhadapan masalah melakukan persediaan sekiranya Ahad cuti kerana peperiksaan SPM akan bermula pada Isnin," katanya ketika ditanya tentang kemungkinan Ahad diisytiharkan sebagai cuti di Johor sekiranya Harimau Selatan menjuarai Piala Malaysia.

Bermula awal tahun ini, cuti hujung minggu di Johor telah diubah kepada Jumaat dan Sabtu, berbanding Sabtu dan Ahad sebelum ini.

Mohamed Khaled ditanya tentang isu terbabit selepas merasmikan fasa pertama Laman Sukan Ekstreme Pasir Gudang bernilai RM300,000 yang dibina oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang hari ini.

Ramai kalangan peminat bola sepak di Johor menaruh harapan tinggi agar kerajaan negeri melakukan perkara sama ketika JDT menjuarai Liga Super tahun ini dengan mengisytiharkan cuti.

Pasukan bimbingan jurulatih kelahiran Croatia Bojan Hodak berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menumbangkan pasukan kelab Felda United pada perlawanan separuh akhir.

Artikel Lain