suria

Penangguhan GST Jejaskan Ekonomi - Chua

KUALA LUMPUR: Ekonomi akan lebih teruk terjejas jika pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terus ditangguhkan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

"Ini akan menimbulkan ketidaktentuan memandangkan sesetengah syarikat sudah melakukan persediaan untuk GST dan kerajaan juga sudah bersedia melaksanakan GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang," katanya.

Menurutnya rejim SST semasa tidak sesuai untuk ekonomi Asean yang disasarkan.

Beliau mengulas cadangan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah agar kerajaan mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan GST sehingga ekonomi lebih stabil dan pada asas lebih kukuh.

Chua menjelaskan di bawah SST, tidak ada kredit cukai input dan eksport negara mungkin tidak cukup berdaya saing memandangkan negara Asean lain sudah melaksanakan GST dan semua eksport mereka berkadar cukai sifar.

"Antara sebab utama pelaksanaan GST ialah untuk mengurangkan jurang cukai agar sistem percukaian lebih cekap.

"Tidak ada istilah masa yang tepat atau tidak kena masa memandangkan dasar perlu konsisten, disebar dan dilaksana," katanya di sini, Jumaat.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penganugerahan akreditasi dua program Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia (BOVAEA).

BOVAEA ditubuhkan pada 1981 di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dengan peranan utama mengawal selia penilai, pentaksir dan ejen hartanah di Malaysia.

GST, Chua Tee Yong

Artikel Lain