suria

Persiapan Perkahwinan TMJ Berjalan Lancar

JOHOR BHARU: Persiapan terakhir giat dilakukan menjelang perkahwinan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Cik Khaleeda Bustamam.


Bendera negeri mula dipasang di sepanjang jalan-jalan utama di antara Istana Pasir Pelangi, Istana Besar dan Istana Bukit Serene, yang akan menjadi lokasi majlis akad nikad pada Jumaat ini.

Selain bendera negeri, turut dihiasi dengan cahaya lampu serta beberapa hiasan lain di sepanjang jalan menuju ke tempat majlis.

Sementara itu, majlis akad nikah akan dilangsungkan secara tertutup yang hanya akan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pengantin sahaja.

Majlis tahlil dan doa selamat akan berlangsung pada Khamis, bakal dihadiri dengan tetamu-tetamu jemputan di Masjid Sultan Abu Bakar.

Khemah besar dalam proses untuk dipasang di Istana Besar bagi majlis resepsi pada 8 November ini yang dijangka dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat.

Antara tetamu-tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan exco dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, pihak majlis menghargai persiapan perkahwinan ini yang disediakan oleh kerajaan negeri.

"Semuanya berjalan lancar dan mengikut perancangan yang dibuat," katanya ketika dihubungi The Star pada Rabu.

Beliau juga berkata, rakyat dibenarkan untuk berhimpun di sepanjang jalan Istana Besar untuk melihat pengantin diraja yang akan menaiki kereta tanpa bumbung dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar bagi majlis resepsi pada pukul 8.30 malam.

"Bagaimanapun, untuk keselamatan, hanya tetamu-tetamu jemputan sahaja yang dibenarkan memasuki Istana Besar, namun sebuah skrin besar akan dipasang di Dataran Bandaraya, Johor Bharu untuk disaksikan orang awam," tambahnya.

Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Baharu dan merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.

Artikel Berikut

Artikel Lain