suria

Lembah Sari: Kontrak RM77 Juta Diperoleh Melalui Tender Terbuka

KUALA LUMPUR: Lembah Sari Sdn Bhd menjelaskan bahawa kontrak RM77 juta yang diperoleh syarikat itu untuk membekalkan label keselamatan bagi minuman keras, bukan hasil rundingan langsung.


Menurut kenyataan syarikat itu pada Khamis, Lembah Sari menyertai tender terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan berjaya memperoleh kontrak itu yang bertujuan mengawal dan memantau pungutan cukai, sambil melindungi hasil kerajaan.

Lembah Sari menambah bahawa ia mempunyai hampir 10 tahun pengalaman dan kepakaran dalam menyediakan penyelesaian penuh untuk perlindungan eksais/hasil cukai kerajaan, perlindungan jenama dan penyelesaian keselamatan dan produk.

Ia juga menyediakan perkhidmatan untuk mereka bentuk, mencetak, menyimpan, membekal dan mengedar produk keselamatan termasuk setem cukai, sambil membekalkan alat peranti pengesahan ketulenan dan latihan.

Penjelasan Lembah Sari itu dibuat sebagai menjawab kenyataan Anggota Parlimen Petaling Jaya Tony Pua mengenai pemberian kontrak itu yang didakwanya dibuat melalui rundingan langsung.

Kontrak itu adalah untuk jangka masa lima tahun dari 2014 dan bernilai RM15.4 juta setahun.

Lembah Sari juga berkata butiran terperinci tender itu disiarkan di laman web rasmi Jabatan Kastam.


Artikel Lain