suria

Polis Buru Dua Lelaki Disyaki Samun Kedai 24 Jam

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes samun kedai 24 jam termasuk kes pecah kereta dan rumah di sekitar Menggatal.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata tiga anggota kumpulan itu ditahan dalam serbuan polis yang dijalankan ke atas sebuah rumah di Taman Bukit Setia, Menggatal, pada 11 malam, 8 Oktober lepas.

"Ketiga-tiga suspek lelaki yang berumur antara 21 dan 34 tahun itu masing-masing mempunyai kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya dan polis turut merampas sebuah kereta Perodua Kancil, telefon bimbit dan pemutar skru," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Katanya kes samun yang dilakukan oleh kumpulan itu menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM18,350.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah perhentian bas di Jalan Keramat, Likas kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah, Isnin.

Katanya ketika ditahan 3.15 petang, polis menemui dua paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 67.58 gram dengan nilai dianggarkan RM1,500.

Chandra berkata polis juga menahan seorang lelaki berumur 36 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri pada 7 malam, 9 Okt lepas, di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Likas kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol di Kampung Darau, Menggatal, Jun lalu.

Katanya, dalam kejadian 17 Jun, antara 4 dan 4.30 petang itu, suspek dikatakan masuk ke dalam rumah mangsa sebelum merompak wang mangsa sebanyak RM726 dan mengancam mangsa menggunakan sebilah pisau dan gunting agar tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun pada 4 Oktober di Kampung Air, kira-kira 8.30 malam, kerana disyaki menyamun tiga pelajar sekolah menengah dan sebuah kedai di Asia City.

samun, kedai 24 jam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut