suria

Mahkamah Perintah Jurujual Kereta Bela Diri Pertuduhan Membunuh

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin membatalkan pembebasan seorang jurujual kereta dan memerintahkannya untuk membela diri atas pertuduhan membunuh seorang eksekutif wanita pada 2006.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Linton Albert sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwa untuk memerintahkan Shahril Jaafar membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Albert yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Abdul Rahman Sebli juga memerintahkan Shahril, 34, direman sementara menunggu perbicaraan bela dirinya di Mahkamah Tinggi di Alor Setar, Kedah. Dia akan direman di penjara Alor Setar.

Albert juga menetapkan 19 Oktober bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi dan menurutnya mahkamah mahu perbicaraan diadakan secepat mungkin.

Pihak pendakwa raya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Jun tahun lepas yang melepas dan membebaskan Shahril daripada pertuduhan membunuh tanpa memanggilnya membela diri.

Shahril dituduh membunuh eksekutif pemasaran Chee Gaip Yap, 25, di perkarangan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, antara 5.30 petang pada 14 Januari, 2006 dan 3.05 pagi hari berikutnya.

Chee sedang berjoging dengan adik perempuannya di Kelab Cinta Sayang apabila dia diculik. 

Sembilan jam kemudian, mayatnya dalam keadaan separuh bogel dijumpai dalam semak berdekatan trek joging pada 15 Januari, 2006.

Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Lee mati akibat kesan tikaman pada sebelah kiri lehernya dan bukan kerana kecederaan dalaman di bahagian kemaluannya.

Adalah diilaporkan pada tahun lepas bahawa Shahril, yang melarikan diri sejak 2006, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, sekembalinya dari Perth, Australia.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud berhujah bahawa empat calitan air mani dan darah yang diambil daripada kemaluan mangsa didapati 100 peratus sepadan dengan DNA Shahril.

Beliau berkata adalah mustahil orang ketiga terlibat dan menambah tindakan Shahril melarikan diri ke Australia, tiga hari selepas DNAnya diambil membayangkan bahawa dia bersalah dan cuba melarikan diri daripada sesuatu.

Awang Amardajaya berkata calitan kelima diambil daripada si mati didapati mempunyai "loci asing" yang mungkin berpunca daripada pencemaran kerana mayat mangsa dijumpai dalam semak.

Peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili Shahril bagaimanapun berhujah bahawa walaupun jika DNA terbukti milik Shahril, ia tidak membuktikan bahawa dia telah membunuh Chee kerana tiada bukti menunjukkan berlaku hubungan seks tanpa kerelaan.

Beliau berkata tiada apa-apa untuk mengandaikan bahawa sesiapa yang melakukan hubungan seks dengan mangsa adalah pembunuhnya kerana kecederaan di bahagian kemaluannya mungkin disebabkan persetubuhan secara rela dan bukan kerana dia diserang secara seksual.

Beliau berkata Shahril tidak dituduh merogol mangsa.
bunuh eksekutif, bela diri

Artikel Lain