suria

Polis Buru 'Ah Hai' Suspek Utama Letupan Di Bukit Bintang

Unit Pemusnah Bom PDRM berjaya meletupkan bom tangan kedua yang masih aktif, yang ditemui di lokasi kejadian.

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu 'Ah Hai' yang merupakan suspek utama dalam siasatan terhadap insiden letupan bom tangan di Kompleks Sun di Bukit Bintang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, 'Ah Hai' didakwa terlibat dalam satu kes di Sentul pada Ogos lalu, dengan mengacukan pistol ke arah seorang anggota polis.

"Kita percaya Ah Hai merupakan sasaran utama. Berdasarkan siasatan awal, dia didapati sebagai saksi penting dalam kes ini, dan polis sedang cuba mengesannya," katanya.

Tajuddin berkata, polis telah pun menyelesaikan satu kes membabitkan Ah Hai dan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Dikenali sebagai 'Ah Hai', lelaki berusia 53 tahun itu dipercayai dari Geng 21 telah menjalankan perniagaan haram di sini, termasuk perjudian. 

Insiden letupan itu berlaku di luar kelab malam Cherry Blossom pada Khamis, sehingga mengakibatkan seorang joki kereta maut dan mencederakan 12 yang lain, termasuk dua warga China, dua warga Singapura dan seorang warga Thailand.

Tajuddin berkata, lapan mangsa telah memberikan keterangan mereka kepada pihak polis.

Tiong Kwong Yie, 36, meninggal dunia akibat kecederaan serius selepas kejadian letupan yang berlaku pada pukul 4.25 pagi itu.

Ah Hai, Letupan Di Bukit Bintang

Artikel Lain