suria

Bukit Bintang Beroperasi Seperti Biasa Disebalik Insiden Letupan

KUALA LUMPUR: Lebih 24 jam selepas berlaku insiden letupan bom di Bukit Bintang, suasana di sana kembali seperti biasa dengan gedung perniagaan dan bank dikunjungi warga kota biarpun ada sedikit keresahan dalam kalangan mereka.

Sejak 10 pagi suasana menjadi sibuk di kawasan Bukit Bintang itu yang dikenali sebagai kawasan segitiga emas Kuala Lumpur dan menjadi tumpuan pelancong untuk membeli-belah.

Tinjauan Bernama mendapati kawalan keselamatan juga diperketatkan dengan kehadiran anggota polis berpakian seragam serta pemantauan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mereka juga membuat pemeriksaan rambang kepada pengunjung di kawasan tersebut.

Semalam, seorang pekerja joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing, dalam serangan bom tangan dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang.

Sehingga kini, mangsa yang cedera merupakan enam rakyat tempatan, seorang lelaki Thailand, seorang lelaki Singapura dan empat wanita dari China. 

Pasangan suami isteri dari Australia, Margaret Sharp dan Geoff Sharp memilih untuk mendaftar keluar daripada Hotel Sunbow Residency yang terletak di tingkat 10 di lokasi kejadian berikutan insiden itu.
 
"Kami akan tetap datang ke Malaysia lagi, tetapi buat masa sekarang kami hanya bimbang dan akan tinggal di rumah kawan kami di Ampang," katanya kepada Bernama sambil menyatakan pasangan itu kerap melawat Malaysia sejak 2008.

Seorang pengunjung, Azlenaayu Ahamad Azaman, 41, pertama kali merasa bimbang untuk membeli-belah di kawasan Bukit Bintang walaupun sebelum ini sering menghabiskan masa di situ.
 
"Saya mengharapkan pihak berkuasa lebih mengetatkan kawalan keselamatan di Bukit Bintang khususnya melibatkan warganegara asing yang begitu banyak dilihat di kawasan ini," katanya.
 
Peniaga kedai makan dekat Sun Kompleks itu, Fauzan Abdullah, 46, turut merasai kesannya apabila kedainya mengalami kemerosotan pelanggan hari ini.
 
"Mungkin ada kebimbangan bagi pelanggan saya dan tengah hari ini hasil jualan baru mencapai RM200 sedangkan kebiasaannya saya dapat hampir RM500," katanya. 

Pemandu teksi, Yong Fonyan, 53, keadaan kembali seperti biasa di Bukit Bintang dan rakannya di Australia cuba mendapatkan maklumat mengenai insiden letupan itu. 
 
"Saya memberitahu mengenai keadaan seperti biasa sahaja dan berharap insiden itu tidak menjejaskan rakan saya untuk melawat negara ini lagi," katanya.

Tinjuan mendapati kompleks beli-belah seperti Berjaya Times Square, Plaza Bukit Bintang, Lot 10, Plaza Low Yat, Pavilion KL, Starhill Gallery dan Plaza Sungei Wang juga dikunjungi warga kota dan pelancong seperti biasa.

Bukit Bintang

Artikel Sebelum

Tujuh Strategi Utama Bajet 2015

Artikel Berikut

Bajet 2015 Untuk Rakyat - Najib

Artikel Lain