suria

Bajet 2015: RM23.3 Bilion Untuk Kemudahan Kesihatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM 23.3 bilion bagi pelaksanaan inisiatif meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia melibatkan pembinaan dua buah hospital iaitu Hospital Dungun di Terengganu dan Hospital Seri Iskandar di Perak, serta 20 Klinik Kesihatan dan empat Klinik Pergigian, antaranya di Kuala Lipis, Pahang dan Kluang, Johor.

"30 Klinik 1Malaysia juga ditambah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 290 buah di seluruh negara dan membina sebuah Klinik Kesihatan di Cyberjaya.

Kerajaan juga akan menempatkan 30 doktor perubatan di 30 Klinik 1Malaysia," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 bertemakan 'Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, RM30 juta diperuntukkan bagi menggantikan 635 unit mesin hemodialisis di hospital dan klinik kerajaan. 

"Kerajaan turut menyediakan ruang di hospital dan klinik kesihatan bagi menempatkan 244 buah mesin hemodialisis lagi yang akan disumbangkan oleh sektor swasta dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya. 

Selain itu, Najib berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM45.4 juta bagi menyediakan ubat-ubatan bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis kronik dan akut.

"Pelepasan cukai bagi perbelanjaan perubatan penyakit serius seperti kanser, kegagalan buah pinggang dan serangan jantung ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 bagi meringankan tanggungan kos rawatan dan perubatan, meliputi pasangan dan anak," katanya.

Katanya, bagi mengekang penularan wabak demam denggi, sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk mengagihkan sebanyak 55,000 kit ujian denggi kepada semua klinik swasta untuk mempercepatkan proses pengesanan awal denggi secara percuma. 

"Program pencegahan denggi akan dipertingkatkan melalui kesedaran komuniti dan perolehan peralatan pencegahan denggi seperti 're-agen', 'Ultra Low Volume' dan 'Mist Blower'," katanya.

Bajet 2015, kemudahan kesihatan

Artikel Lain