suria

Bajet 2015: RM4.5 Bilion Naik Taraf Infrastruktur Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM4.5 bilion untuk menyedia dan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antara program yang akan dilaksanakan termasuk, menyediakan RM943 juta untuk membina projek jalan luar bandar sepanjang 635 kilometer termasuk bekas jalan-jalan balak di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata, RM1.1 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan program penyambungan bekalan elektrik kepada lebih 15,000 buah rumah dan RM394 juta juga diperuntukkan bagi program bekalan air bersih luar bandar kepada 7,500 buah rumah.

"Program membina dan membaik pulih rumah usang melibatkan 9,500 buah rumah dengan peruntukan sebanyak RM200 juta.

"Selain itu, RM160 juta diperuntukkan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaraan dan sewa pesawat baharu," katanya ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan melaksanakan program pembangunan ekonomi, kemudahan infrastruktur dan penambahbaikan taraf hidup masyarakat Orang Asli dengan peruntukan RM352 juta.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan RM26 juta disediakan untuk mendirikan tambahan 10 batang tiang lampu di 22,000 kampung di seluruh negara, menjadikannya 20 batang tiang lampu di setiap kampung.

"Ini melibatkan jumlah keseluruhan RM56 juta bagi menyediakan lampu jalan kampung," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain