suria

Polis Buru Dua Suspek Samun 810 Unit TV LED

Gambar hiasan.
MELAKA: Polis Melaka sedang mengesan dua lelaki dipercayai suspek utama kejadian samun kargo 810 televisyen LED membabitkan kerugian bernilai kira-kira RM570,000 di Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh pada 18 September lepas.

Mereka yang dikehendaki ialah S.P Sudhakaran Pillai, 45, dan S.K Rama Chandaran, 34, masing-masing beralamat terakhir di Taman Seremban Jaya dan Taman Desa Jasmin Putra Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kargo tersebut dipercayai masih berada pada kedua-dua lelaki berkenaan.

Beliau berkata polis sebelum ini telah menahan dan mengambil keterangan lapan individu termasuk pemandu treler berusia antara 34 hingga 54 tahun di beberapa lokasi berasingan termasuk di Batu Pahat dan Tampoi di Johor, Nilai dan Rahang di Negeri Sembilan dan Puchong di Selangor antara 19 hingga 29 September lepas.

"Kesemua mereka bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis setelah selesai memberi keterangan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, Khamis.

Raja Shahrom berkata ketika kejadian kira-kira 2 pagi itu, treler tersebut sedang dalam perjalanan ke Shah Alam, Selangor dari sebuah kilang di Batu Pahat, Johor.

Beliau berkata pemandu treler itu yang berusia 37 tahun mendakwa sedang berhenti rehat untuk minum di hentian berkenaan sebelum diserang dua lelaki bersenjatakan parang.

Katanya lelaki berkenaan mendakwa diikat dan dibawa bersama kargo tersebut sebelum dilepaskan di Banting, Selangor.

Polis katanya berjaya menjumpai kepala treler berkenaan di tepi jalan di Branang, Selangor kira-kira 12.20 tengah hari pada 22 September lepas.


samun, TV LED, Melaka

Artikel Lain