suria

Gambar Amin Baco Pada Telefon Bimbit Anggota Abu Sayyaf

Pokemon menunjukkan gambar Amin Baco yang dikenali sebagai Abu Jihad.
PETALING JAYA: Gambar suspek pengganas rakyat Malaysia, Amin Baco yang dikaitkan dengan militan Negara Islam (ISIS) ditemui pada telefon bimbit anggota Abu Sayyaf yang mati di selatan Filipina.


The Manila Times yang menyiarkan gambar Amin, 31 berasal dari Tawau, Sabah itu pada Ahad melaporkan suspek terbabit bersembunyi dengan kumpulan itu di Sulu.

Amin dan seorang lagi militan Sabah Darul Islam, Jeknal Adil, 30 juga dari Tawau adalah antara lima militan termasuk pensyarah, Dr Mahmud Ahmad dan pemilik kedai, Mohd Najib Hussein, 30 yang dikehendaki polis Malaysia.

Mereka dilaporkan melarikan diri ke selatan Filipina susulan tindakan polis membanteras kegiatan militan di negara ini.

Media negara itu melaporkan, jurucakap pegawai risikan Filipina berkata, berdasarkan pemeriksaan, Amin yang menggunakan nama Abu Jihad dipercayai terbabit dalam beberapa siri letupan bom di Mindanao.

Pegawai terbabit yang turut menyediakan gambar kepada Manila Times berkata, Amin juga menganggotai Jemaah Islamiyah (JI).

Laporan yang memetik sumber dengan nama samaran 'Pokemon' berkata, Amin sudah lama berada di Filipina dan terbabit dalam kejadian pengeboman di Basilan dan Sulu.

Juga dilaporkan, pegawai terbabit menunjukkan carta organisasi Pergerakan Khilafa Islamiyah (KIM) yang seumpama Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan menyokong perjuangan ISIS.

Gambar Amin dan carta itu diambil dari telefon bimbit seorang anggota ASG yang terkorban dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan kerajaan di Sulu baru-baru ini.

Sumber itu juga memaklumkan, Amin adalah antara lima anggota JI yang bersembunyi di Sulu dan mendapat perlindungan Abu Sayyaf serta pernah mengugut untuk memenggal kepala pasangan Jerman yang diculik pada April lalu.

Manila Times juga memetik pegawai risikan itu berkata, Abu Sayyaf mungkin memenggal kepala warga Jerman itu sebagai tanda simpati kepada ISIS.

"Abu Sayyaf menyokong ISIS, mereka juga berikrar setia kepada ISIS dan ketika ini menunggu maklum balas dan mungkin dengan memenggal kepala warga Jermah itu kewujudan mereka akan disedari pihak ISIS," katanya.


Amin Baco, Abu Sayyaf, JI

Artikel Lain