suria

Kes Lahad Datu: Pasukan Menyelamat Cari Anggota Polis Di Setiap Rumah

KOTA KINABALU: Satu pasukan menyelamat polis memeriksa setiap rumah di Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna untuk mencari anggota keselamatan yang terperangkap, susulan serangan hendap pada 2 Mac tahun lepas bagi menangkap seorang suspek yang dikaitkan dengan pencerobohan Lahad Datu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Selasa.

Ketua pasukan menyelamat itu DSP Hisham Mahmood berkata beliau telah mengarahkan pasukannya, yang dibahagikan kepada dua kumpulan, untuk melaksanakan operasi 'flushing' di setiap rumah bagi memastikan tiada penceroboh bersenjata yang boleh menjejaskan keselamatan mereka ketika mencari anggota-anggota polis berkenaan.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa pasukannya memasuki Kampung Sri Jaya pada 2.15 petang pada 3 Mac tahun lepas dan memulakan operasi 'flushing' dan mencari di rumah-rumah di sepanjang Jambatan 5 di perkampungan air itu.

"Semasa berada di sebuah surau dekat rumah bernombor 15, saya telah mendapat laporan daripada seorang anggota pasukan penyelamat yang mengatakan ternampak lambaian ves polis dari beranda rumah bernombor 19," katanya sambil menyatakan beliau percaya beberapa anggota keselamatan terperangkap di situ.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar sama ada beliau menghubungi bilik operasi di ibu pejabat polis Semporna, Hisham berkata beliau menggunakan walkie-talkie untuk memaklumkan pegawai bertugas supaya menghubungi anggota polis terperangkap untuk menggulung lengan baju hingga ke bahu bagi membolehkan mereka dikenal pasti.

Beliau berkata pasukannya kemudian bergerak ke rumah bernombor 16 dan 17 di mana mereka melaksanakan operasi 'flushing' dan mendapati rumah-rumah itu tidak dihuni.

Bagaimanapun, ketika pasukan menyelamat berada di rumah bernombor 17, Hisham berkata beliau ternampak pergerakan di rumah sebelah yang terletak kira-kira 7 meter dari rumah berkenaan.

"Saya telah mengarah sepasukan untuk menjalankan operasi 'flushing' di rumah bernombor 18 dan sepasukan lagi berkawal di sekeliling rumah.

"Pasukan yang membuat operasi 'flushing' mendapati terdapat lima anggota keselamatan terperangkap dalam rumah 18 dan telah merampas sebilangan senjata api yang dimiliki anggota keselamatan yang terperangkap iaitu selaras M16, sepucuk pistol dan selaras Bushmaster," katanya.

Mohd Dusuki: Kenapa rampasan dilakukan terhadap senjata api yang dimiliki oleh anggota keselamatan yang terperangkap?

Hisham: Mengikut prosedur, sebelum mengenal pasti penghuni rumah, kami perlu membuat pemeriksaan menyeluruh di rumah tersebut kerana kami tidak mengenali anggota yang terdapat dalam rumah tersebut pada masa itu.

Ketua pasukan itu berkata pasukannya kemudian bergerak ke rumah bernombor 19, yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah bernombor 18, dan mendapati 10 anggota keselamatan terperangkap dengan seorang daripadanya cedera parah serta enam orang tahanan yang tangan mereka digari dan ada yang tangannya diikat dengan tali.

Menurutnya satu mayat ditemui terbaring di hadapan pintu dan diselimuti dengan kain wanita, dan mayat itu kemudian dikenal pasti sebagai pegawai Cawangan Khas Bukit Aman Superintendent Ibrahim Lebar.

Hisham berkata pasukannya juga merampas selaras Bushmaster, lapan pucuk pistol pelbagai jenis dan tiga laras raifal M16 yang dimiliki anggota keselamatan yang terperangkap di rumah bernombor 19 serta merampas selaras raifal M16 lagi yang tertera 'Made In Philippines', yang dipercayai milik penceroboh bersenjata itu.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa rumah bernombor 20 yang diperiksa pasukannya tidak mempunyai penghuni tetapi menemui satu mayat di dalam bot di bawah rumah itu, yang dipercayai mayat penceroboh bersenjata berdasarkan pakaiannya.

Hisham berkata pasukannya juga menemukan satu mayat di laluan papan di belakang rumah bernombor 22.

Semasa pasukan menyelamat itu menuju ke rumah bernombor 25, mereka menemui tiga lagi anggota keselamatan yang terperangkap di rumah itu bersama-sama seorang wanita tua dan seorang wanita muda yang dipercayai anaknya.

Menurutnya satu mayat juga ditemui terapung berdekatan rumah bernombor 25, yang kemudian dikenal pasti sebagai Korporal Salam Togiran.

Selepas mendapati rumah bernombor 26 tidak mempunyai penghuni, Hisham berkata pasukannya bergerak ke rumah bernombor 27 dan di beranda rumah itu, mereka menemukan satu mayat berpakaian seragam Pasukan Gerakan Am (PGA)
yang kepalanya dipenggal, dan satu lagi mayat yang berpakaian orang awam.

Dua lagi mayat terdapat di bawah rumah itu, dengan satu daripadanya berpakaian seragam PGA dan satu lagi berpakaian orang awam, katanya.

perbicaraan kes Lahad Datu

Artikel Lain