suria

Perketat Undang-Undang Tangani Jenayah Hasutan Di Media Sosial - TPM

Muhyiddin (belakang, tengah) menyanyikan lagu 1Malaysia bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) serta kanak-kanak berbilang bangsa selepas majlis Pelancaran Program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kebelbagaian di Stadium Titiwangsa di sini, Selasa.
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu diperketatkan bagi menangani jenayah hasutan di media sosial, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau berkata, sejak akhir-akhir ini wujud  kecenderungan di kalangan segelintir individu tidak bertangggungjawab untuk membuat kenyataan biadap yang menghina kaum dan agama tertentu.

Katanya, kenyataan ini yang menjadi 'viral' di media sosial berpotensi untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama jika tidak dikawal.

"Demi memastikan keharmonian kaum dan agama di negara kita tidak dicemari oleh mereka yang tidak bertangggungjawab, penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu diperketatkan bagi menangani jenayah hasutan yang dilakukan di media sosial.

"Pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera dan tegas bagi membendung jenayah hasutan daripada menular dalam masyarakat kita," katanya pada Majlis Pelancaran Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian di sini, Selasa.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup.

Muhyiddin berkata, ketegasan kerajaan dalam membendung jenayah hasutan adalah penting dalam usaha untuk memastikan keharmonian kaum dan perpaduan rakyat di negara terus diperlihara.

Sementara itu, beliau berkata, antara asas paling penting dalam pembinaan negara adalah jaminan hak bagi setiap kaum yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perlembagaan negara bukan sahaja memberi jaminan hak yang adil dan saksama kepada semua kaum, malah memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara bagi memastikan perkara yang termaktub dalam perlembagaan tidak dipersoalkan.

"Maka dalam semangat menghargai serta menghormati Perlembagaan negara kita, adalah wajar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum menghindari perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan mengancam keharmonian negara," katanya. 

Artikel Berikut

Artikel Lain