suria

KPDNKK Kaji Cadangan Pinda Peraturan Kutipan Royalti Muzik

Datuk Seri Hasan Malek
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang meminda peraturan bayaran royalti muzik, jika perlu, bagi menyelesaikan isu caj pelesenan terlalu tinggi terhadap peniaga kecil.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pertemuan kedua bersama empat syarikat pelesenan akan diadakan Selasa depan bagi membincangkan perkara itu.

"Undang-undang sedia ada tidak memberi kuasa kepada kerajaan untuk tetapkan kadar caj, jadi jika ada keperluan untuk pinda atau menambah baik peraturan sedia ada, kita akan lakukan untuk penyelesaian jangka panjang.

"Tetapi untuk jangka pendek, masalah ini kita akan selesaikan dengan empat syarikat terbabit kerana saya lihat tiada persefahaman antara mereka sehingga berlaku pertindihan dalam kutipan royalti," katanya ketika mengulas mengenai isu bayaran royalti muzik yang dikatakan membebankan peniaga kecil.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup program "Conversation with Stakeholders: IP Rights Marketplace Industry Engagement", di sini Jumaat.

Pada majlis ini, beliau turut menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) baharu, Shamsiah Kamaruddin yang menggantikan Datuk Azizan Mohamad Sidin.

Dalam satu kenyataan media Khamis, Hasan berkata, undang-undang sedia ada tidak memberi kuasa kepada kerajaan untuk memberi apa-apa pengecualian bayaran royalti muzik kerana ia adalah hak eksklusif pengkarya, pencipta, syarikat rakaman, penyanyi dan pemuzik.

Beliau berkata aduan yang diterima kebanyakannya daripada pengusaha perniagaan kecil dan sederhana seperti kedai kopi, kedai gunting rambut, bengkel kereta dan lain-lain industri kecil, berhubung jumlah kadar atau caj tarif pelesenan yang terlalu tinggi sehingga RM800 setahun. 

Empat badan pelesenan yang diisytiharkan oleh MyIPO untuk membuat kutipan royalti bagi ahli-ahli mereka yang terdiri daripada komposer, penulis lirik, syarikat rakaman, penyanyi dan pemuzik ialah Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd, Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad dan Performers Rights and Interest Society (PRISM) Berhad.

Peruntukan undang-undang Akta Hak Cipta 1987 telah menyediakan platform melalui Tribunal Hak Cipta untuk membolehkan mana-mana pihak yang terkesan mengemukakan rujukan kes untuk semakan semula tarif/ skim pelesenan yang ditawarkan oleh mana-mana Badan Pelesenan. 

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong menyarankan badan pelesenan royalti agar tidak menyalahgunakan kuasa untuk mengutip bayaran daripada premis perniagaan yang bukan bertujuan komersial.

KPDNKK, royalti, royalti muzik

Artikel Lain