suria

Kertas Siasatan PPS Diserah Semula Kepada KUP Minggu Depan

GEORGE TOWN: Kertas siasatan kes Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang dipulangkan kepada polis semalam, akan diserah semula kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) minggu depan.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata polis perlu melengkapkan beberapa perkara termasuk mengambil keterangan daripada pihak berkaitan dan pemimpin PPS bagi memastikan kertas siasatan kes itu lengkap.

"KUP mahu polis tambah dan lengkapkan beberapa perkara termasuk memasukkan keterangan daripada pemimpin PPS.

"Siasatan kes itu masih dijalankan dan polis juga mahu anggota PPS di negeri ini tampil menyerah diri di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Ahad lepas polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Sehari selepas itu, polis menahan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Delima RSN Rayer dan semalam Timbalan Pengerusi PPS Ng Wei Aik yang juga Anggota Parlimen Tanjung turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pasukan yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Thaiveegan berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes seorang wartawan sebuah portal berita berikutan laporan polis daripada pelbagai pihak mendakwa berita yang ditulis berbaur fitnah dan hasutan.

Beliau berkata setakat ini polis telah memanggil wartawan wanita berkenaan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh untuk direkodkan keterangan.

"Kami telah bebaskan wartawan itu dengan jaminan polis malam tadi selepas berpuas hati dengan keterangannya. Selain itu, polis turut mengambil beberapa barangan yang digunakan wanita itu ketika temu bual dengan Phee antaranya telefon bimbit serta buku (catatan)," katanya.

Rabu lepas, polis membuka kertas siasatan terhadap wartawan itu ekoran laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak.

Artikel berkenaan menyiarkan temu bual wartawan berkenaan dengan Phee yang juga pengerusi PPS pada 1.30 pagi ketika anggota exco itu masih dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kes PPS. 


Polis, PPS

Artikel Lain