suria

PKR Tetap Mahu Tanding DUN Pengkalan Kubor

PKR dan PAS kini dilihat berebut untuk bertanding di kerusi DUN Pengkalan Kubor.
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor walaupun sekutunya daripada PAS mahu mengambil semula kerusi itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR Kelantan mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat supaya parti itu terus bertanding di kerusi DUN Pengkalan Kubor.

"MPP juga menerima cadangan daripada MPN Kelantan untuk kekal bertanding di DUN itu.

"Cadangan ini akan dibincangkan oleh PKR dan PAS dalam masa terdekat untuk dimuktmadkan keputusannya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini PAS mengintai untuk bertanding semula di DUN Pengkalan Kubor kerana yakin mereka dapat menawan semula kerusi itu selepas menang buat kali terakhir pada 1999.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
PKR, PRK Pengkalan Kubor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain