suria

26 Nelayan Asing Diselamatkan Di Laut China Selatan

KEMAMAN: Seramai 26 nelayan asing diselamatkan kapal pembekal pelantar, MV Vanessa milik Sapura Kencana Energy, setelah sembilan jam hanyut di tengah Laut China Selatan pada Khamis lepas.

Kesemua nelayan itu yang terdiri daripada tiga warga Thailand termasuk tekong bot, 20  warga Myanmar dan tiga warga Vietnam menggunakan pelampung dantong kosong untuk menyelamatkan diri apabila bot mereka yang bocor, karam berhampiran Pelantar Minyak Puteri, kira-kira 156 batu dari Timur Kota Bharu.

Ketua Penguatkuasa Pengkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman Leftenan Komander Nang Rong berkata ketika kejadian, bot nelayan asing yang berdaftar di Thailand itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke negaranya dengan membawa hasil tangkapan.

"Pihak kami mendapat panggilan kecemasan pada  2 petang dari pusat kawalan yang mengatakan bot itu karam. Kejadian berlaku kira-kira dua batu nautika dari pelantar itu.

"Kejadian itu disedari MV Vanessa milik Sapura Kencana Energy yang dalam perjalanan ke pelantar minyak Puteri. Semua nelayan itu kemudian dibawa ke Pelabuhan Bekalan Kemaman (KSB)," katanya kepada pemberita.

Nang berkata nelayan berusia antara 18 tahun dan 44 tahun itu berada perairan negara ini untuk menangkap ikan beberapa hari lepas.

Kesemua nelayan itu dirujuk ke Jabatan Imigresan untuk proses dokumentasi dan akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing, katanya.

Artikel Lain