suria

Najib Garis Empat Nilai Penting Bagi Penjawat Awam

Najib Tun Razak melawat ruang pameran selepas Majlis Perasmian 'My Story Transforming the Nation' di Galeri Menara Berkembar Petronas pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat nilai iaitu kesetiaan, dedikasi, kompetensi dan integriti yang perlu dimiliki penjawat awam sebagai tulang belakang pembangunan negara.

Beliau berkata nilai-nilai itu perlu ada bagi melakukan transformasi segera sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan.

Berucap merasmikan merasmikan pameran "MY Story: Transforming The Nation" di Galeri Petronas pada Sabtu, beliau berkata empat nilai itu akan menjadi tonggak serta panduan kepada penjawat awam dalam menggalas amanah dan tanggungjawab melaksanakan gagasan dan hasrat kerajaan.

Najib menegaskan kesetiaan yang diperkatakan beliau ialah yang lahir daripada prinsip, bukan kesetiaan membuta tuli selain keperluan menyokong kerajaan semasa yang diberi mandat memerintah.

"Anda tidak perkecilkan kerajaan. Anda tidak menulis (secara negatif) dalam e-mel atau blog atau twit. Anda perlu kekal teguh dan setia. Sekiranya tidak betul, yang mana tidak betul boleh tegur. Ada cara untuk kita buat teguran," kata beliau.

Mengenai soal dedikasi, Najib berkata beliau kagum dengan penjawat awam di zaman dahulu yang sentiasa mempunyai semangat dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab serta sanggup turun padang dan bekerja tanpa mengira masa atau hari bercuti.

"Siang malam tidak kira masa, Ahad pun turun padang, tidak merungut, tidak tunjuk muka masam. Itulah dedikasi sejati. Buat sesuatu yang luar daripada biasa dan bersedia bekerja lebih masa, tidak terikat kepada rutin 9 pagi ke 5 petang atau 8 pagi ke 4 petang," katanya.

Mengenai kompetensi, Najib menarik perhatian bahawa penjawat awam kini perlu menjadi komunikator yang baik dan bersedia berdepan dengan pihak media bagi menerangkan dasar dan aspirasi kerajaan.

"Ia berbeza daripada dahulu kerana kalau dahulu, penjawat awam boleh duduk di pejabat dan bersorok di belakang meja. Era 2014 adalah lebih mencabar daripada era dulu," kata Najib.

Perdana menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya terus mengekalkan integriti yang amat penting ketika menjalankan tanggungjawab dan tugas untuk memberi perkhidmatan terbaik.

Pameran 'MY Story: Transforming the Nation' anjuran Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD Alumni) mengetengahkan perspektif sejarah mengenai peranan perkhidmatan awam berhubung kelahiran dan transformasi negara Malaysia.    

Pameran itu yang diadakan di Galeri Petronas, KLCC, berlangsung sehingga 16Sept ini pada setiap Selasa hingga Ahad dari 10 pagi hingga 8 malam.

Artikel Lain