suria

Isu MB Selangor: Rafizi Dianggap Gelojoh, Bongkak, Melampau

Suhaimi Shafiei
PETALING JAYA: Saranan Rafizi Ramli supaya wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Selangor menolak pencalonan sebagai menteri besar mendapat reaksi negatif apabila beliau disifatkan sebagai seorang yang gelojoh, bongkak dan mempunyai agenda peribadi dalam isu berkenaan.


Malah, Rafizi turut diberi amaran supaya menghentikan segera sikap tergopoh-gapahnya kerana 'Wayang Langkah Kajang' sudah melabuhkan tirai apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan.

Rasa tidak puas hati dan terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden PKR itu diluahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Suhaimi Shafiei yang menganggap Rafizi cuba memaksa semua pihak mengikut pandangannya.

"Kenyataan Rafizi sebulan dua ini banyak merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat dan kini dia melebarkan lagi retak yang sedia ada.

"Caranya memberi gambaran bahawa hanya pendapat beliau seorang sahaja yang betul dan layak memberi pendapat.

"Siapa Rafizi yang hendak menyuruh saya membuat itu dan ini?," katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Suhaimi yang kesal dengan tindakan Rafizi itu juga mahu supaya kepemimpinan tertinggi PKR menegur cara Ahli Parlimen Pandan itu yang dianggapnya melampau.

Beliau berpendapat, kenyataan Rafizi itu menghina Adun Pakatan Rakyat Selangor khususnya dan lebih memburukkan keadaan ia dikemukakan menerusi media.

"Cabaran beliau (mengarah Adun PKR tarik diri) menghina kami, seolah-olah kami tidak ada pendirian.

"Jika beliau mempunyai cadangan yang difikirkan baik, bawalah ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat untuk kita bincangkan dan buat keputusan," katanya.

Tambah Suhaimi lagi, hakikat sebenar semua Adun sudah menandatangani Surat Akuan Sumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kenyataannya, Rafizi menggesa Adun parti itu menolak pencalonan sebagai menteri besar Selangor bagi membuktikan kesetiaan kepada parti dan perpaduan dalam menentang parti lawan.

Beliau memuji tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menolak cadangan PAS agar beliau dinamakan sebagai pengganti Khalid.

Terdahulu, PKR menegaskan tetap akan menghantar nama Presidennya sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut kepada Istana Selangor.



Rafizi Ramli, PKR, Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain