suria

Suasana Tenang, Sayu Selubungi Upacara Pembakaran Jenazah Dua Mangsa MH17

Gambar mangsa tragedi MH17, mendiang Foo Ming Lee diletakkan bersebelahan kerandanya sebelum upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park Shah Alam, di sini. Ahad.
SHAH ALAM: Suasana tenang namun riak kesedihan menyelubungi wajah anggota keluarga dan sahabat handai dua mangsa tragedi pesawat MH17, semasa upacara pembakaran jenazah di Krematorium Taman Peringatan Nirvana, Seksyen 21 di sini, Ahad.

Jenazah Foo Ming Lee dan Ng Qing Zheng yang sebelum ini disimpan di Taman Peringatan Sungai Besi sejak Jumaat lepas, tiba di tempat pembakaran berkenaan masing-masing pada pukul 11.30 pagi dan 12.15 tengah hari, diiringi sanak saudara serta sahabat handai.

Kedua-dua mereka merupakan kumpulan pertama daripada jenazah 43 rakyat Malaysia yang maut dalam tragedi itu yang dibawa pulang.

Bagi sahabat Qing Zheng, Xie Jun Tian, 42, kehilangan jurutera kimia berusia 30 tahun itu pasti dirasai memandangkan beliau seorang anggota alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua, Klang dekat sini yang aktif.

"Beliau sangat aktif dalam kegiatan alumni sekolah kerana biasanya dia yang menguruskan aktiviti persatuan dan sentiasa rajin meluangkan masa untuk rakan-rakan dalam alumni.

"Saya sangat sedih dan masih tidak boleh menerima ketiadaan beliau kerana saya masih ingat yang dia berjanji untuk memberi saya hadiah tatkala pulang daripada trip ke Amsterdam," katanya kepada pemberita di sini.

Menyifatkan Qing Zheng sebagai sahabat yang sering menceriakan suasana, Xie berkata, pemergiannya diibaratkan satu kehilangan besar kepada alumni sekolah itu berikutan jasanya yang sering menghidupkan aktiviti persatuan tersebut.

Mendiang Qing Zheng meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Sementara itu, berikutan rasa sedih atas pemergian Ming Lee, keluarga serta sanak saudara mendiang enggan ditemu bual dan pulang sejurus upacara pembakaran jenazah selesai.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.


MH17, Foo Ming Lee, Ng Qing Zheng

Artikel Lain