suria

Istiadat Hormati Jenazah Mangsa MH17 Satukan Rakyat Malaysia

PEKAN: Kesedihan serta kepiluan keluarga mangsa dan rakyat Malaysia yang berkabung dalam istiadat menghormati jenazah mangsa MH17 pada Jumaat berjaya menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perdana Menteri berkata istiadat itu amat signifikan kepada semua lapisan rakyat Malaysia yang merapatkan barisan walaupun ditimpa dugaan dan rintangan.

"Kita perlu ambil iktibar, di sebalik tragedi yang menyayat hati itu, ukhwah antara kita terjalin, terpulang kepada kita untuk melihat hikmah tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri peringkat Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menyerikan majlis itu.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata beliau menumpukan kepada usaha untuk menyelesaikan insiden MH17 dan MH370 bagi memastikan ia mendapat pembelaan sewajarnya tanpa perlu bersuara lantang tentang usaha-usaha yang dibuat.

"Walaupun tidak tidur malam dan lakukan perkara yang sukar diberitahu kepada umum, tetapi saya berusaha segigih mungkin untuk menyelesaikan masalah ini.

"Tidak perlu lantang dalam buat kenyataan tetapi nampak keberhasilan, biar tidak lantang tetapi hasil lebih bermakna," kata perdana menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata ketegasan Malaysia berpegang pada prinsip kebenaran menjadikan negara kini lebih dihormati bukan sahaja kuasa-kuasa besar tetapi juga puak pemisah di negara-negara bergolak sehingga mampu menangani insiden MH17 baru-baru ini.

Katanya atas pegangan itu jugalah beliau berjaya berunding dengan pemimpin puak pemisah Ukraine Alexander Borodai sehingga mampu membawa keluar mayat mangsa nahas pesawat berkenaan dan mendapatkan kotak hitam pesawat.

"Secara peribadi tragedi ini membawa erti dan dekat di hati saya kerana saya telah lakukan rundingan dengan puak pemisah... satu perkara yang tidak mengikut konvensyen dunia.

"Alhamdulillah usaha tersebut berjaya dan kita berjaya membawa keluar mayat mangsa dan dua kotak hitam juga diserahkan kepada pasukan Malaysia.

"Mereka tidak mahu menyerahkannya kepada negara lain kecuali kepada negara kita sahaja," kata Najib.

Beliau berkata dalam dunia sempadan pada masa kini Malaysia perlu bersedia menghadapi apa jua cabaran yang mendatang walaupun sesuatu isu itu kadangkala tidak ada kena mengena dengan negara ini.

"Contohnya kita bawa penumpang dan lalui kawasan konflik, walaupun tida ada kena mengena tetapi kita boleh jadi mangsa.

"Begitu juga di mereka yang juga pergi ke Tanah Suci, juga boleh terdedah dengan penyakit dari negara lain seperti MERS-COV dan Ebola jika tidak berhati-hati," katanya.

MH17, MAS, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain