suria

Hitam Putih Akhbar Tanda Kehibaan

KUALA LUMPUR: Majoriti akhbar utama di Malaysia pada Sabtu menggunakan warna hitam dan putih di muka hadapan bagi menzahirkan kehibaan sempena Hari Perkabungan Negara, Jumaat.

Susun atur muka hadapan akhbar utama pada Sabtu juga menggunakan tajuk utama dan gambar pengebumian jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 serta kehibaan anggota keluarga mangsa, pemimpin dan rakyat Malaysia.

Berita Harian menggunakan warna hitam putih dengan tajuk 'Air Mata MH17', memaparkan gambar menyayat hati juruterbang MAS Nizam Ahmad yang kelihatan menangis sambil mendukung anak kepada Ahmad Hakimi Hanapi, pembantu juruterbang MAS, yang terkorban dalam nahas itu.

Gambar itu memaparkan Nizam ketika itu sedang melakukan solat jenazah, sambil mendukung Abderrahman yang baru berusia lapan bulan.

Akhbar Utusan Malaysia pula menggunakan gambar anggota tentera mengusung keranda jenazah dan abu mayat di Istiadat Penghormatan Jenazah Warga Malaysia MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada Jumaat.

Sementara itu, Sinar Harian menggunakan beberapa gambar anggota keluarga mangsa yang bersedih di majlis pengebumian mangsa MH17 dengan tajuk 'Doa & Air Mata'. 

Turut menggunakan warna hitam putih ialah Harian Metro dengan tajuk utama 'Malaysia Berdoa' dengan memaparkan gambar solat jenazah dilakukan dan gambar kesedihan anggota keluarga mangsa MH17. 

Akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times menggunakan warna hitam putih turut memaparkan gambar juruterbang MAS Nizam Ahmad yang menangis sambil mendukung anak mangsa MH17 Ahmad Hakimi Hanapi dengan tajuk 'A nation Grieves'.

MalayMail pula turut memaparkan gambar sama dengan tajuk 'We'll Be Missing You'.

Halaman utama laman web www.bernama.com turut menggunakan warna hitam dan putih pada logonya.

Media tempatan juga dilihat menggunakan warna hitam dan putih pada logo mereka di laman web, laman facebook dan laman sosial twitter masing-masing.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 penumpang dan anak kapal telah ditembak jatuh namun, sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Sebanyak 43 orang termasuk penumpang dan anak kapal merupakan warga Malaysia.

Daripada jumlah ini, 20 mayat tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA semalam untuk disemadikan di tanah air.

MH17, MAS, akhbar, hitam putih

Artikel Lain