suria

MH17: Seluruh Negara Bertafakur Seminit

SEPANG: Seluruh negara bertafakur selama seminit selepas jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 selamat tiba di tanah air.

Terdahulu, kesemua jenazah yang dibalut dengan Jalur Gemilang diturunkan dari pesawat khas itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 9.55 pagi Jumaat.

Pesawat khas yang menggunakan kod penerbangan MH6129 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol Amsterdam kira-kira pul 9.40 malam Khamis waktu Malaysia.

Pesawat jenis Boeing 747 itu diterbangkan oleh tiga juruterbang kanan MAS, Datuk Kapten Misman Leham, Kapten Bakri Othman dan Kapten Zaim Khalid serta pembantu juruterbang, Yap Koon Keong.

Antara yang kelihatan di Kompleks Bunga Raya adalah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, jemaah menerti, pegawai kanan dan kakitangan kerajaan, ahli politik dan waris mangsa nahas pesat MH17.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Ia mengorbankan 298 orang termasuk 43 warga Malaysia.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh namun, setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

tafakur, seminit, MH17, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Lain