suria

MH17: Lokasi Pengebumian Jenazah Diumum Jumaat Ini - Jakim

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan hal berkaitan pengurusan pengebumian jenazah mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang beragama Islam pada Jumaat ini.

Pengumuman rasmi itu dijangka akan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, Jakim ditugaskan sebagai penyelaras bagi pengurusan jenazah beragama Islam.

"Jumaat ini, kerajaan akan mengumumkan senarai nama penuh jenazah beragama Islam yang tiba tanah air pada pagi Jumaat ini dari Belanda.

"Senarai tempat-tempat jenazah beragama Islam dikebumikan juga akan diumumkan," katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Seramai 16 jenazah mangsa nahas MH17 yang telah dikenalpasti identitinya akan dibawa pulang ke tanah air dari Amsterdam dan tiba di Kuala Lumpur pagi Jumaat ini.

Selain itu, Othman berkata, kaedah solat jenazah secara hadir dan ghaib akan turut diperjelaskan kepada orang ramai dalam satu kenyataan media yang akan dikeluarkan pada Khamis.

"Kaifiat solat jenazah ini boleh dilayari melalui laman web Jakim di www.islam.gov.my," katanya.

Pada Selasa, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, 16 jenazah itu merupakan sebahagian daripada 28 mayat yang telah dikenalpasti identitinya sebelum ini.

Hishammuddin berkata, 14 jenazah yang sudah dikenalpasti itu adalah mangsa beragama Islam manakala 14 lagi bukan Islam. Keseluruhan mangsa dari Malaysia dalam nahas MH17 adalah seramai 43 orang.

Bagaimanapun katanya, jumlah jenazah yang akan dibawa pulang dijangka meningkat bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa di Amsterdam.

Jakim, MH17, MAS

Artikel Lain