suria

Isu MB: Pemimpin PAS Dakwa Telefon Bimbit Digodam

Mohd Khairuddin Othman.
SHAH ALAM: Seorang pemimpin PAS mendakwa telefon bimbitnya digodam sebaik saja mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan mengenai kemelut menteri besar di Selangor pada Ahad selesai.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman mendakwa penggodam menghantar satu mesej yang menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai menteri besar, walaupun parti memutuskan untuk tidak berada di belakang Khalid.

"Nombor saya digodam dan ada invidivu menghantar mesej itu," katanya pada Isnin.

Kandungan mesej itu berbunyi: "Hj Hadi mptahankn TSKI krn bersih, x kurap & x stuju dgn DSAI sbb PKR nk sapu harta PKNS & projek bsar. PAS sllu d ank tirikn d dlm projek pbangunan."

Sebaik saja PAS menarik balik sokongan terhadap Khalid, Mohd Khairuddin mengeluarkan satu kenyataan media menyokong keputusan parti.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan turut mendakwa telefon bimbitnya digodam.

Nasrudin mendakwa kejadian itu menerusi posting di laman Facebooknya dengan berkata, ada segelintir pihak menggunakan telefon bimbitnya untuk menghantar mesej bahawa Hadi Awang tidak gembira dengan mesyuarat tersebut dan tiba-tiba beredar sebelum sidang media diadakan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (PAS) turut mendakwa telefon bimbitnya digodam semasa pilihan raya kecil (PRK) Kajang untuk menghantar mesej provokatif.
PAS, menteri besar Selangor

Artikel Lain