suria

Isu MB: PAS Akan Kerjasama Dengan Wan Azizah Jika Istana Perkenan

PAS menamakan Azmin sebagai seorang lagi calon untuk jawatan menteri besar.
SHAH ALAM: PAS menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai calon kedua untuk jawatan Menteri Besar  kerana parti itu tidak selesa dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai negeri tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata keputusan untuk menamakan Azmin hadir selepas parti itu dimaklumkan oleh istana bahawa Wan Azizah bukan calon sesuai untuk mengisi jawatan tersebut.

"Namun jika pemimpin Pakatan Rakyat merasakan beliau (Wan Azizah) adalah calonnya dan istana perkenan, jadi kita akan bekerjasama dengan beliau," kata Sallehin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini Isnin.

Sallehin berkata, memandangkan Sultan Selangor berada di luar negara, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan menteri besar yang sah dan mempunyai kuasa untuk menjalankan dasar dan kerja pentadbiran.

"Saya tidak rasa beliau (Khalid) akan meletak jawatan sekarang kerana ia akan menyukarkan rakyat.

"Selain itu, beliau sudah menjelaskan bahawa beliau kehilangan sokongan majoriti daripada Adun.

"Jadi tunggu sehingga Sultan kembali," kata Sallehin.

Pada Ahad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebulat suara memutuskan untuk tidak menyokong Khalid sebagai menteri besar.

Parti itu menamakan nama Azmin sebagai seorang lagi calon dan akan menghormati keputusan PKR untuk menghantar nama Wan Azizah bagi jawatan tersebut.

Khalid kemudiannya berkata beliau akan memaklumkan kepada Sultan mengenai perkara itu sebaik saja baginda tiba di tanah air.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain